KUALA LUMPUR 9 Ogos – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng digesa membawa individu atau pihak yang didakwa menyeleweng wang tuntutan cukai barang dan perkhidmatan (GST) ke muka pengadilan.
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, kepemimpinan Barisan Nasional (BN) tidak boleh menerima tuduhan Guan Eng dalam sidang Dewan Rakyat semalam kerana Ahli Parlimen Bagan itu gagal memberi jawapan secara tepat.
“Kalau betul berlaku penyelewengan, tak dipulangkan wang GST peniaga, maka siapa yang membuat keputusan mesti dibawa ke muka pengadilan.
“BN tidak boleh menerima apabila dituduh merompak RM19.4 bilion wang pembayar cukai GST,” katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini.
Yang turut hadir Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Khairy yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau memberitahu, perkataan ‘dirompak’ yang disebut Guan Eng itu adalah satu tuduhan yang besar.
“Memandangkan tuduhan itu membabitkan perbuatan jenayah, maka siasatan dalaman di Kementerian Kewangan sahaja tidak mencukupi,” jelasnya.
Beliau juga telah membuat laporan berhubung isu tersebut di Ibu pejabat Polis Daerah Sentul hari ini dan akan mengemukakan laporan sama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), esok.
Sementara itu Kiandee berkata, dakwaan Guan Eng itu akan dibawa kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC).
“Sebagai Pengerusi PAC yang baharu, saya cadangkan di bawah peraturan Mesyuarat 77 (1) dakwaan terhadap RM19.4 bilion yang dikatakan hilang itu dibawa ke prosiding akan datang,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mustapa memberitahu, sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (PH) benar-benar bertanggungjawab, maka hasil siasatan dalaman Kementerian Kewangan perlu dikemukakan kepada umum.
“Dalam semangat ketelusan dan reformasi yang dijanjikan oleh kerajaan serta berlaku adil, perkara ini kemudiannya wajar dirujuk kepada PAC,” katanya.











