KEMAMAN – Seorang bapa maut manakala bayi lelakinya yang berusia 12 bulan cedera selepas terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 108, Jalan Kuala Terengganu – Kuantan berhampiran Kampung Labohan di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 pagi itu, Mohd. Badrul Ridhzuan Rosmani@Rosman, 27, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah pada kepala manakala bayinya, Muhammad Attar, hanya mengalami cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, ketika kejadian mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke kediamannya di daerah ini dari bandar Paka selepas menghantar isterinya bekerja.
“Setibanya di lokasi kejadian, kereta jenis Proton Saga FLX yang dipandu mangsa dipercayai terbabas sebelum terbalik akibat merempuh pembahagi jalan.
“Mangsa serta anaknya yang berada dalam kerusi bayi di tempat duduk penumpang bahagian belakang ketika kejadian itu dikatakan tercampak keluar sejauh beberapa meter dari kereta tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Menurut Mohd. Said, bayi lelaki yang mengalami cedera ringan itu dihantar ke Klinik Kesihatan Kerteh dekat sini bagi tujuan rawatan lanjut. – K! ONLINE











