KUALA LUMPUR 11 Ogos – Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu menyebelahi mana-mana kem dalam pemilihan PKR kerana tindakan itu boleh memudaratkan parti.
Presiden PKR itu menganggap kedua-dua anak buahnya iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli yang akan berebut jawatan Timbalan Presiden berada di dalam ‘kem Anwar’.
Beliau sendiri telah bercakap serta mendengar alasan dan hujah kedua-dua calon tersebut berhubung hasrat mereka menjadi orang kanannya.
Anwar menambah, beliau pernah mencadangkan kepada Rafizi supaya tidak perlu ada pertandingan bagi jawatan nombor dua tersebut, namun memahami hujah bekas Ahli Parlimen Pandan itu untuk bertanding dan melihat perkara itu sebagai amalan demokrasi.
“Saya tengok kedua-dua mereka itu kem saya. Mohamed Azmin adalah penyandang, apabila ada orang mencabarnya pasti ada menganggap saya yang memberi laluan tetapi sebenarnya tidak.
“Saya tidak boleh menyatakan jangan kalau dia (Rafizi) ada hujah yang mahu diutarakan. Apa saya mampu lakukan adalah menasihatkan calon supaya jangan taksub dan terikat dengan puak kerana boleh menghalang parti memilih pemimpin terbaik,” katanya dalam temu bual bersama Mingguan Malaysia di pejabatnya dekat sini semalam.
Kira-kira 800,000 ahli PKR akan mengundi dalam pemilihan PKR selama tiga minggu mulai pertengahan September ini.
Mengulas lanjut Anwar berkata, ‘dua kem’ yang wujud itu sentiasa mengharapkan panduan daripadanya dan beliau memberi isyarat bahawa perjuangan parti harus dipertahankan.
Beliau turut meletakkan syarat bahawa setiap calon tidak membuat serangan peribadi dan menyalahgunakan kuasa untuk meraih undi memandangkan kebanyakan yang bertanding kini mempunyai jawatan penting dalam kerajaan.
Berdasarkan pengalamannya selama 16 tahun dalam UMNO, Anwar mengakui tidak mudah menghalang perbezaan pandangan dalam parti, namun menganggap ia boleh dielakkan sekiranya pemimpin tertinggi sendiri tidak berpuak-puak.
“Saya sebagai ‘bapa’, harus mendukung ahli dan menganggap semua yang bertanding sebagai satu pasukan dan harus memberi peluang kepada mereka,” katanya.











