REKOD perpindahan penjaga gol termahal dunia berjumlah £67 juta (RM351 juta) yang dipegang pemain Brazil, Alisson Becker hanya bertahan kira-kira tiga minggu.
Di sebalik ramalan rekod itu mampu bertahan lama, Chelsea tiba-tiba memadam andaian tersebut apabila menyambar Kepa Arrizabalaga dari Athletic Bilbao dengan nilai perpindahan £71.6 juta (RM375.4 juta) semalam iaitu hari terakhir jendela perpindahan pemain ditutup.
“Ini adalah keputusan paling penting dalam karier bola sepak dan saya tidak sabar untuk bertemu rakan-rakan sepasukan pada sesi latihan.
“Banyak perkara yang membuatkan saya tertarik dengan Chelsea kerana ini antara kelab terbesar di England dan telah menjuarai pelbagai trofi domestik dan Eropah,” ujar Arrizabalaga.
Alisson yang berhijrah dari AS Roma ke Liverpool pada 20 Julai lalu mengikat kontrak bersama The Reds selama lima tahun sehingga 2023.










