ROM – Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri yakin beliau telah membuat keputusan tepat untuk terus kekal di Turin selepas menolak tawaran dari Real Madrid.
Allegri, 50, telah dikaitkan dengan kelab Liga Perdana England, Arsenal dan juara Eropah, Real pada akhir musim lalu sebelum memutuskan untuk terus kekal bersama kelab gergasi Serie A itu.
Real akhirnya melantik bekas jurulatih Sepanyol, Julen Lopetegui pada Jun lalu ekoran pemergian Zinedine Zidane selepas Allegri mengesahkan beliau menolak peluang untuk menggantikan pengendali Perancis itu di Santiago Bernabeu.
“Saya berkata ‘tidak’ kepada Real kerana telah menyatakan komitmen kepada Presiden Juventus ini.
“Jadi, saya sangat menghormati Juventus dan mahu mengotakan janji. Itulah sebab mengapa saya menolak tawaran dari Real yang merupakan kelab terbesar di dunia dan impian setiap jurulatih (mengendali Real).
“Saya akan menjadi hipokrit jika saya tidak berbangga selepas berada dalam pertimbangan Real tetapi dalam masa yang sama, saya yakin telah membuat keputusan tepat.
“Adakah saya seperti legenda, Gianluigi Buffon atau Alessandro Del Piero? Sudah tentu kerana mereka adalah bekas pemain yang melakarkan banyak sejarah bersama Juventus manakala saya baharu empat tahun bersama kelab ini,” katanya. – Agensi











