SEPANG 3 Ogos – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan Allahyarham Prof. Dr. Shaharuddin Baharuddin sebagai insan yang mempunyai semangat juang tinggi dalam apa juga perkara yang diceburinya.
Menurut Asyraf Wajdi, perbezaan fahaman politik antara beliau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia itu tidak pernah meretakkan hubungan persahabatan yang sudah terjalin lebih 20 tahun.
“Kami bersahabat sejak sama-sama menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Allahyarham adalah sahabat yang sentiasa berusrah bersama dan berkongsi perjuangan dalam persatuan yang kami terajui dahulu.
“Beliau merupakan individu yang merangsang anda untuk berfikir, seseorang yang selalu memberikan nilai tinggi untuk ilmu pengetahuan dan sepanjang menuntut di UIAM hampir setiap minggu kami mengadakan usrah bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menziarahi jenazah Shaharuddin dan menyertai kira-kira 500 jemaah menunaikan solat jenazah di Masjid Jamiurrahmah Kampung Limau Manis di sini.
Jenazah Shaharuddin merangkap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Raudahatul Jannah Khairiah Masjid Jamiurrahmah Kampung Limau Manis Sungai Merab pada pukul 9.45 pagi.
Mengulas lanjut mengenai keperibadian Shaharuddin, Asyraf Wajdi berkata, sahabatnya itu seorang cekal dan sanggup berjuang sehingga ke akhir hayatnya walaupun terpaksa berhadapan dengan penyakit yang dialaminya.
Allahyarham juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor, meninggal dunia pada kira-kira pukul 6.28 petang semalam ketika menerima rawatan di Hospital Putrajaya.










