Aidil, Fasha sudah saling bertemu keluarga - Utusan Malaysia

Aidil, Fasha sudah saling bertemu keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MESKIPUN belum memberitahu tentang perancangan menuju sebuah perkahwinan, namun aktres Fasha Sandha mendedahkan dia dan Aidil Aziz sudah bertemu dengan keluarga masing-masing selepas mula rapat sejak awal tahun ini.

Malah, akui pelakon berusia 34 tahun itu, kedua-dua anaknya iaitu Putra Rayfal, 4, dan Putri Raysha Jemaima, 3, sangat senang dengan kehadiran Aidil selain hubungan mereka juga rapat.

Fasha dan Aidil, 31, mula rapat selepas sama-sama terlibat dalam sitkom Mamu Mami Gosip sejak awal tahun ini. Namun hubungan mesra mereka mula diperkatakan peminat selepas tersebarnya sebuah rakaman video berpelukan antara Fasha dan Aidil di sebuah lapangan terbang beberapa bulan lalu.

Ikuti penjelasan lanjut daripada pelakon drama Syurga Yang Kedua itu ketika ditemui pada majlis pengenalan duta produk ubat gigi Aura White di Cheras, Selangor baru-baru ini.

KOSMO!: Sejak mengaku berkawan rapat dengan Aidil, peminat tertunggu-tunggu sebarang perkembangan terkini hubungan kalian. Mungkin Fasha boleh berkongsi sedikit?

FASHA SANDHA: Kami masih berkawan rapat seperti dulu. Saya sudah berjumpa dan kenal dengan keluarga Aidil, begitu juga sebaliknya. Cuma untuk masa akan datang, kita pun tidak tahu apa akan berlaku kepada hubungan ini. Sebab itu saya enggan bercakap lanjut mengenainya. Apa yang boleh saya katakan, kebahagiaan saya kini berganda dengan kehadiran dia.

Bagaimana dengan hubungan Aidil dan anak-anak anda?

Mereka sangat rapat dan saya sendiri sukar untuk mempercayainya. Sebab anak kedua saya sangat susah untuk dekat dengan orang terutama lelaki tetapi tidak sangka mereka boleh bersama. Mungkin Aidil ada aura terhadap budak-budak sebab dia sendiri sudah terbiasa dengan anak-anak buah atau anak rakan-rakannya.

Apa sebab yang membuatkan anda selesa untuk berkawan dengannya?

Seperti pernah saya katakan dahulu, dia seorang lelaki yang sederhana. Dia juga seorang lelaki bujang, bukannya suami orang. Malah, apa yang membuatkan saya selesa bersamanya adalah apabila melihat hubungan yang baik dengan keluarga terutama ibunya.

Adakah sekarang anda sudah bersedia untuk kembali memegang gelaran sebagai seorang isteri?

Sekarang sudah dua tahun sembilan bulan sejak saya berpisah dengan bekas suami. Secara jujurnya, saya selesa hidup solo sebab senang kalau orang mahu bekerja dengan saya. Namun, saya tidaklah mengatakan kehidupan berkahwin sebelum ini membuatkan langkah saya terikat. Cuma kita fahamlah kalau bergelar seorang isteri, ada banyak had dalam menerima sebarang tawaran kerja. Berbeza kalau solo, saya bebas selain boleh fokus kepada anak dan keluarga.

Boleh kongsikan sedikit tentang pelantikan anda sebagai duta produk Aura White?

Alhamdulillah, saya bersyukur atas pelantikan ini. Untuk produk ubat gigi, ini merupakan kali pertama saya dilantik menjadi duta memandangkan sebelum ini tidak banyak jenama lokal di pasaran. Sebelum menerima tawaran ini, saya sudah pun menggunakannya dalam tempoh beberapa bulan.

Selepas melihat kesannya yang betul-betul menjadi, barulah saya terima. Sebab saya bukan seorang yang menerima tawaran hanya kerana wang. Apa yang penting adalah kualiti kerana saya tidak mahu menipu pembeli di luar sana jika perkara itu tidak betul.

Baiklah. Sedikit perkembangan terkini karier anda?

Jika tiada kekangan, saya akan masuk ke set penggambaran slot Samarinda berjudul Mawar Berduri bersama pelakon Saharul Ridzwan dan Mimi Lana. Insya-Allah tidak lama lagi saya akan terlibat dalam sebuah siri panjang untuk siaran Astro. Sebab itu sekarang badan saya sedikit susut apabila kehilangan empat kilogram. Namun kalau diikutkan, kurus bukan sekadar untuk kerjaya tetapi kesihatan. Kini saya tidak mengambil minuman bergula dan banyakkan berjalan kaki. Itu antara rutin yang saya lakukan setiap hari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN