ALOR SETAR – Jabatan Pehutanan Negeri Kedah (JPNK) menahan seorang lelaki dipercayai pemilik kilang kayu dan merampas 447 batang balak dianggarkan bernilai RM370,000 di sebuah kilang di Kampung Bongor, Baling dekat sini semalam.
Jurucakap JPNK berkata, pihaknya menahan seorang lelaki dipercayai pemilik kilang tersebut berusia 57 tahun selepas disyaki memiliki kayu balak yang tidak dibayar cukai.
Menurutnya, dalam serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, pegawai penguat kuasa JPNK mendapati 446 batang balak yang tidak mempunyai nombor penanda dan tag nombor penanda serta pas pemindahan disimpan di belakang kilang tersebut.
“JPNK mengambil tindakan menyita kayu balak berkenaan yang mempunyai cukai bernilai kira-kira RM10,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau memberitahu, kebanyakan kayu balak terbabit jenis meranti dipercayai dicuri syarikat yang mempunyai lesen sebelum dibawa keluar secara haram tanpa kelulusan JPNK.
“Syarikat tersebut disyaki mengeluarkan kayu balak pada waktu malam selepas balai pemeriksaan JPNK kayu balak menutup operasi atau pada awal pagi sebelum balai pemeriksaan tersebut dibuka pada pukul 8 pagi,” katanya.
Jurucakap JPNK menambah, kes itu disiasat mengikut Seksyen 84 (1) dan 69 (1), Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993) yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM 50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun.
“Lelaki terbabit kemudian dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM10,000 dan siasatan lanjut akan dilakukan sebelum didakwa di mahkamah,” katanya. – K! ONLINE











