KOTA TINGGI – Polis berjaya menahan 14 lelaki yang menjadikan sebuah kawasan ladang kelapa sawit di Blok 3, Felda Air Tawar 1, di sini sebagai port mengedar dan menagih dadah sejak sebulan yang lalu.
Dalam operasi yang dijalankan selama tujuh jam bermula 5 pagi semalam oleh sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) itu, kesemua lelaki terbabit diberkas berusia antara 28 hingga 27 tahun.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ashmon Bajah berkata, selain tangkapan, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah termasuk heroin seberat 3.98 gram(g) dan syabu 0.10g.
“Selain dadah, pihak kita turut menjumpai sebuah motosikal yang dilaporkan hilang yang digunakan salah seorang suspek.
“Hasil siasatan juga mendapati lokasi ini dijadikan sarang penagih dan pengedaran dadah di kawasan ladang sawit sejak sebulan yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ashmon berkata, semakan ke atas rekod jenayah lampau mendapati suspek memiliki kesalahan jenayah antaranya Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.
Menurut beliau, hasil ujian air kencing ke atas semua suspek mendapati mereka positif dadah jenis morphine.
Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) dan 15(1)(a) Akta Dafah Berbahaya 1952. – K! ONLINE











