GEORGETOWN 14 Julai – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin mendahului senarai 962 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan negeri sempena Ulang Tahun Ke-80 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas.
Zulkifli, 59, yang memegang jawatan itu sejak 20 Jun lalu merupakan antara dua penerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Seorang lagi penerima DPPN ialah usahawan dan tokoh korporat terkenal, Tan Sri Tan King Tai @ Tan Khoon Hai, 62.
Selain itu, 13 penerima dikurniakan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Datuk Seri, antaranya Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Wan Salim Wan Mohd. Nor; Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A. Thaiveegan dan bekas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Maimunah Mohd. Shariff.
Turut menerima DGPN ialah Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri; Pengarah Urusan QSR Brands (M) Holdings Bhd., Datuk Mohamed Azahari Mohamed Kamil dan dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Zulkifli Yahya.
Sementara itu, seramai 11 pula menerima Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPN) yang membawa gelaran Datuk iaitu Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman dan mantan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Chuah Ghee Lye.
Turut menerima DMPN ialah Anggota Lembaga Pengarah Western Digital Malaysia, Datuk Syed Hussian Syed Junid; sukarelawan, Datuk Meh Reng @ Mary Dong dan Pengarah Urusan Kumpulan PLB Engineering Berhad, Datuk Dr. Ong Seng Soon.
Selain itu, sejumlah 62 individu menerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Datuk, antaranya Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub dah Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang, Mohamad Shakir Abdul Hamid.
Seramai 44 individu pula menerima Darjah Johan Negeri (DJN), 67 orang menerima Bintang Cemerlang Negeri (BCN), Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) (129 orang), Pingat Jasa Kebaktian (PJK) (290 orang), Pingat Jasa Masyarakat (PJM) (306 orang) dan Pingat Bakti Setia (PBS) 37 orang.
Istiadat penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan pingat penghormatan negeri Pulau Pinang pada tahun ini turut menyaksikan polis bantuan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Konstabel Zaidi Salleh menerima Pingat Gagah Perwira (PGP) selepas terjun dari jambatan itu bagi menyelamatkan seorang wanita awal tahun ini.
Sementara itu, ketika berucap dalam majlis penganugerahan hari ini, Abdul Rahman berkata, keperluan asas rakyat terutama kemudahan kediaman yang benar-benar mampu dimiliki perlu disediakan dalam apa jua perancangan pembangunan dibuat.
Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dan syarikat swasta sedang dalam peringkat perancangan atau pembinaan sebanyak 55,721 unit rumah mampu milik pelbagai kategori di seluruh negeri.
“Dengan pembinaan projek perumahan mampu milik ini, diharapkan dapat membantu rakyat memiliki rumah sendiri,” katanya.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus serta barisan ahli Exco kerajaan negeri.
Seramai 171 individu menerima pingat dan darjah kebesaran masing-masing pada hari pertama upacara sambutan tersebut hari ini. – BERNAMA










