BAITULMUQADDIS 28 Julai – Tentera Israel menceroboh masuk Masjid Al-Aqsa dan melakukan beberapa penangkapan bagi mengesan golongan belia yang membaling batu dan bunga api ke arah pasukannya ketika menyertai bantahan di luar masjid berkenaan semalam.
Serbuan yang jarang dilakukan di kawasan itu dibuat ketika pasukan perubatan Gaza mengesahkan tentera rejim Zionis menembak mati tiga orang termasuk seorang kanak-kanak lelaki semasa protes mingguan di kawasan sempadan itu.
Seorang jurucakap polis Israel berkata, pasukan tentera dihantar ke Al-Aqsa untuk mengesan suspek yang dikatakan berlindung di masjid itu selepas menyertai konfrontasi di kawasan sekitarnya.
Tiada sebarang maklumat mengenai keganasan di masjid berkenaan dengan jemaah yang lebih tua berkata mereka dibenarkan keluar setelah serbuan dibuat.
Saksi-saksi lain pula memberitahu menyaksikan kira-kira 20 orang remaja lelaki ditahan polis dan berkata solat di masjid berkenaan kemudian disambung semula.
Polis Israel mengesahkan menahan 24 orang dan berkata empat pegawainya cedera ketika kekecohan berlaku sementara pihak berkuasa Islam Palestin menegaskan berpuluh-puluh orang cedera akibat bom tangan polis Israel.
“Serangan berterusan rejim Zionis di Baitulmuqaddis yang dijajah akan meningkatkan ketegangan dan mengheret rantau ini ke arah perang agama yang amat ditakuti,” kata Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Imam Besar Masjid Al-Aqsa, Sheikh Dr. Ekrima Sa’ed Sabri melalui perutusan khas yang tular di media sosial menjelaskan, tentera Zionis merempuh masuk Masjid Al-Aqsa tanpa sebab.
Jelasnya, mereka ingin mengganggu penduduk Palestin yang sedang beribadat selain memecah belah perpaduan penduduk.
Namun katanya, sebarang tindakan ganas Zionis tidak akan mampu memberikan apa-apa kesan kepada Masjid Al-Aqsa.
Dalam pada itu di Gaza, seorang lelaki dan remaja berusia 14 tahun terbunuh sementara berpuluh-puluh orang cedera akibat serangan tentera Israel, sekali gus meningkatkan jumlah kematian sejak demonstrasi yang dilancarkan pada 30 Mac lalu kepada 154 orang.
Rejim Zionis menegaskan taktik lebih ganas diperlukan untuk mencegah penyusupan bersenjata dan berterusan menuduh pergerakan Hamas menggalakkan rusuhan tersebut untuk mengalih perhatian daripada masalah tadbir urus mereka di bawah kepungan Israel-Mesir walaupun Hamas menafikannya. – REUTERS










