Zakir Naik: Jangan tunduk kepada desakan - Utusan Malaysia

Zakir Naik: Jangan tunduk kepada desakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 5 Julai – Kerajaan digesa tidak tunduk dengan tekanan, sama ada daripada kumpulan tertentu di dalam atau pun luar negara untuk menghantar pulang Dr. Zakir Naik ke India.

Sebaliknya, kata bekas Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Dr. Ibrahim Ali, kerajaan sewajarnya memberikan perlindungan kepada pendakwah antarabangsa itu.

Ibrahim juga mendakwa, tekanan yang diberikan kepada tokoh pendakwah dan ilmuan Islam yang dihormati diseluruh dunia itu bukan sahaja bersifat politik tetapi anti-Islam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya menggesa kerajaan melalui Wisma Putra, waima Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai hubungan rapat dengan India untuk menyelesaikan perkara ini.

“Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga boleh bantu, jangan hanya berpeluk tubuh keluarkan kenyataan sahaja. Mana-mana pemimpin yang boleh memainkan peranan dalam isu Zakir ini perlu tampil ke depan membantu,” tegas beliau.

Ibrahim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ura-ura kononnya Zakir akan dihantar pulang ke India berdasarkan laporan sebuah portal berita di negara itu.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menafikan laporan itu dan memberitahu setakat ini beliau belum menerima sebarang laporan mengenai proses ekstradisi Zakir.

Zakir meninggalkan India sejak tahun 2016 selepas beliau didakwa kononnya terlibat dengan kegiatan mempromosi aktiviti keganasan di negara itu.

Ibrahim sebelum ini terkenal sebagai antara individu yang lantang mempertahankan Zakir daripada `serangan’ kumpulan-kumpulan tertentu di negara ini.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN