PENGURUS pasukan skuad bawah 23 (B-23) tahun kebangsaan, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi mengakui bingung dengan status dua pemain Pahang, Matthew Davies dan Nor Azam Abdul Azih yang gagal melaporkan diri dalam kem latihan pusat pertama di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Sebagai rekod, seramai 26 pemain daripada 28 pemain yang disenaraikan oleh ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee telah melaporkan diri bersama skuad B-23 yang bakal mengharungi Sukan Asia Indonesia bulan depan.
Mohd. Yusoff berkata, Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) juga tidak memberi sebarang surat rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai status kedua-dua pemain tersebut.
“Setakat ini 26 pemain telah menyertai sesi latihan pusat kendalian Kim Swee. Cuma, dua pemain (Davies dan Azam) tidak dapat berbuat demikian tanpa sebarang alasan rasmi.
“Apa yang pasti, mereka perlu hadir selewat-lewatnya esok (hari ini) jika masih berminat untuk mewakili skuad B-23 negara.
“Ini kerana kami perlu melengkapkan segala dokumen memandangkan pasukan negara akan berlepas ke China, Khamis ini. Mungkin saya akan berhubung dengan PBNP untuk pengesahan lanjut,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff mengakui masih mengharap PBNP memberi pelepasan kepada dua pemain itu memandangkan mereka telah melepaskan dua lagi pemain skuad Tok Gajah, Faisal Abdul Halim dan Kogileswaran Raj untuk bersama skuad B-23 negara.
“Kami masih mengharap mereka melepaskan pemain untuk menunaikan misi negara pada Sukan Asia 2018 nanti.
“Saya akui ini bukanlah tugasan wajib tetapi pasukan-pasukan lain dalam Liga Malaysia sedia memberi komitmen penuh termasuk Johor Darul Ta’zim yang menghantar sembilan pemain dan empat pemain dari Kedah,” katanya.
Sementara itu, Kim Swee mengakui masih boleh membentuk pasukan yang mantap meskipun tanpa kelibat Davies dan Azam kerana ada beberapa pemain lain yang sedia untuk mengisi kekosongan mereka.
“Saya tidak terlalu memikirkan ketiadaan dua pemain tersebut kerana masih memiliki pemain berkualiti yang boleh mengisi ketiadaan Davies seperti Rizal Ghazali.
Selain itu, pemain-pemain seperti Nik Akif (Syahiran), Daniel Amier (Norhisham) dan mungkin Irfan Zakaria boleh beraksi di posisi tengah untuk menggantikan Azam.
“Apa yang pasti saya mahu fokus dengan pemain sedia ada kerana kami sudah kesuntukan masa dan hanya mempunyai tiga hari sebelum pasukan berlepas ke China. Sekiranya mereka (Azam dan Davies) tidak hadir esok (hari ini) saya anggap mereka tidak berminat untuk bersama pasukan,” katanya
Pada Sukan Asia 2018 nanti, skuad negara diundi dalam Kumpulan E bersama-sama dengan Bahrain, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Kyrgyztan dan Korea Selatan.










