KUALA LUMPUR 17 Julai – Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V mengingatkan Ahli-Ahli Parlimen perlu menggalas tugasan dan titipan amanah yang diberikan dengan jujur serta penuh dedikasi.
Seri Paduka Baginda bertitah, pemilihan sebagai wakil rakyat merupakan satu tanggungjawab yang besar.
Walau bagaimanapun, Seri Paduka Baginda percaya Ahli-Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan yang sihat, matang dan dapat merangsang dinamik berfikir.
“Bukan untuk mencari pihak yang benar, tetapi untuk menemukan apa yang baik lagi benar. Memberi cadangan, teguran dengan penuh berhemah dan bijaksana, penuh kesopanan bertatasusila.
“Supaya institusi Parlimen terus dihormati, dipandang tinggi oleh rakyat dan dunia luar,” titah Seri Paduka Baginda.
Seri Paduka Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan istiadat pembukaan penggal pertama Parlimen Ke-14 di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










