XPDC tiada dalam Konsert Metal Legend II - Utusan Malaysia

XPDC tiada dalam Konsert Metal Legend II

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ketiadaan nama kumpulan rock XPDC dalam senarai artis yang terlibat dalam Konsert Metal Legend II menimbulkan tanda tanya, sama ada band berkenaan digugurkan atas masalah disiplin atau prestasi yang kurang memuaskan pada edisi pertama konsert di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Februari lalu.

Wakil penganjur, Azhar Mat Noh menjelaskan, kumpulan rock itu sendiri yang telah membuat keputusan menarik diri daripada konsert tersebut, namun tidak memberikan alasan berbuat demikian.

“Kami sememangnya tidak mempunyai masalah dengan XPDC dan setuju dengan perancangan yang sudah dibuat sejak awal.

“Kami ada menaikkan status makluman pembabitan XPDC dan Cromok dalam konsert itu di laman sosial, namun dikejutkan dengan tindakan mereka yang memuat naik kembali status berkenaan berserta penafian penglibatan,” jelas Azhar.

Tambah Azhar, pengunduran tersebut juga tidak dibuat disalurkan secara rasmi daripada pengurusan atau anggota XPDC, sebaiknya sekadar diberitahu menerusi laman sosial mereka.

Terdahulu ini, konsert yang dijadualkan berlangsung di Johor itu sepatutnya menggabungkan dua kumpulan rock legenda iaitu XPDC dan Cromok.

Bagaimanapun, konsert yang akan berlangsung pada 8 September depan, hanya akan menyaksikan Cromok berkongsi pentas dengan kumpulan Sil Khannaz.

Tinjauan peminat

Terdahulu, Konsert Metal Legends XPDC & Cromok yang berlangsung di MAEPS, Serdang pada 3 Februari lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada 5,000 peminat.

Jelas Azhar lagi, penganjur menerima secara positif keputusan XPDC dan mencari pengganti yang sesuai untuk digandingkan dengan Cromok dalam konsert berkenaan.

“Sebelum keputusan ini dilakukan, pemerhatian dalam kalangan peminat dan nama kumpulan lain turut dibuat. Akhirnya kami memilih Sil Khannaz yang dianggap tepat dengan konsep muzik metal.

“Tiada maklum balas negatif daripada peminat mengenai ketiadaan XPDC dan ramai terbuka menerima Sil Khannaz sebagai pengganti,” tuturnya.

Penghormatan

Sementara itu, sehari sebelum Konsert Metal Legend Live In JB berlangsung, peminat berpeluang menyaksikan Konsert Rockstars anjuran D Grand Stage Event (pada 7 September) yang menampilkan Ella bersama Prime Domestic di lokasi yang sama.

Siri konsert berkenaan juga dikenali sebagai Malam Bintang Lagenda.

Diberi penghormatan berkongsi pentas dengan Ratu Rock negara, Ella, Joe sebagai ketua Prime Domestic mengakui teruja dan terharu.

“Berkongsi pentas dengan Ella adalah suatu perkara yang amat mengujakan. Bagaimanapun, kami tidak akan melakukan persembahan bersama pada malam tersebut.

“Ella akan ada segmennya sendiri dan begitu juga Prime Domestic,” jelas Joe.

Dalam konsert berkenaan, Ella bakal menyajikan persembahan yang lebih mantap dengan pemilihan lagu dan susunan muzik yang cenderung bernuansakan rock & roll.

“Saya akan menyanyikan 15 buah lagu daripada album-album lama dan terkini. Selain itu, saya akan berduet dengan adik saya iaitu Korrie untuk menyanyikan lagu Pergilah Sayang yang mendapat permintaan ramai peminat.

“Kalau Cromok ingin menyelitkan unsur ghazal sebagai cara menghargai peminat di Johor, mungkin saya akan berzapin untuk lebih mesra dengan peminat di sana nanti (ketawa),” ujar Ella secara berseloroh.

Menarik untuk kedua-dua konsert, pihak penganjur akan menggunakan sistem bunyi 5:2 Stereo Surround. Ini merupakan kali pertama sistem bunyi keliling seumpama itu digunakan dalam konsert tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN