Wee Wern kembali temui sentuhan - Utusan Malaysia

Wee Wern kembali temui sentuhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Julai – Meskipun menduduki ranking ke-254 dunia, selain hilang daripada arena skuasy dunia lebih 20 bulan kerana kecederaan lutut, namun hari ini Low Wee Wern membuktikan dia masih unggul apabila melangkah ke final Terbuka Malaysia.

Pemain wanita negara itu, hanya memerlukan 33 minit untuk mengesahkan tempat di pentas akhir selepas menundukkan rakan senegaranya, S. Sivasangari 11-6, 11-8, 11-9 di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil.

Kemenangan itu juga mengubat sedikit sebanyak kekecewaan bekas pemain No. 5 dunia tersebut selepas tewas kepada Sivasangari dalam final Kejohanan Kebangsaan, minggu lalu.

Wee Wern bakal bertemu Satomi Watanabe dari Jepun pada perlawanan esok selepas pilihan keempat kejohanan itu mengejutkan Omneya Abdel Kawy yang juga merupakan pilihan pertama dari Mesir 11-4, 11-5, 11-6.

“Saya gembira kerana menang hari ini tetapi ia tidak sehebat Kejohanan Kebangsaan yang membolehkan saya dipilih mewakili ke Sukan Asia.

“Walaupun, saya sudah kehilangan peluang ke Sukan Asia tetapi sekurang-kurangnya saya kembali menemui rentak dalam kerjaya PSA (Persatuan Skuasy Profesional). Saya dapat rasakan sebahagian daripada permainan saya sudah pulih seperti biasa.

“Kejohanan Kebangsaan adalah pertandingan pertama saya sertai selepas melakukan penampilan semula dan saya memerlukan beberapa perlawanan kompetitif lagi untuk kembali beraksi seperti biasa (dalam perlawanan menentang Sivasangari di final),” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas perlawanan.

Dalam saingan lelaki, pemain Qatar, Abdulla Mohd Al Tamimi bakal bertemu Yip Tsz Fung dari Hong Kong pada perebutan gelaran esok.

Abdulla berdepan tentangan sengit sebelum menewaskan pilihan pertama dari Hong Kong, Leo Au 8-11, 11-2, 7-11, 11-9. 11-9, manakala Tsz Fung tidak berdepan masalah menundukkan pemain Perancis, Lucas Serme 11-7, 8-11, 11-7, 11-7. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN