Warga India mangsa culik diselamatkan polis Johor - Utusan Malaysia

Warga India mangsa culik diselamatkan polis Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga India berdepan detik cemas apabila dia menjadi mangsa culik sekumpulan lelaki yang menuntut wang tebusan RM200,000 dalam satu kejadian di Tampoi di sini semalam.

Lelaki berusia 28 tahun itu bagaimanapun dapat diselamatkan Polis Johor kira-kira pukul 4.30 petang dalam satu operasi di sebuah bilik rumah tumpangan di Tampoi.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd . berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada Pejabat Kedutaan India yang disalurkan kepada Ketua Unit Perlindungan Antarabangsa, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

“Keluarga mangsa ada membuat laporan di India selepas menerima mesej tuntutan wang tebusan daripada penculik.

“Rakan mangsa, seorang lelaki warga India juga membuat satu laporan polis di Shah Alam pada pukul 12.49 tengah malam semalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Khalil berkata, mangsa dilaporkan diculik oleh sekumpulan lelaki dan meminta wang tebusan berjumlah RM200,000 untuk pembebasan, jika tidak mangsa diancam bunuh.

Menurutnya, mangsa berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan serius dialami, namun dihantar ke hospital untuk rawatan dan pemeriksaan. 

Beliau berkata, dalam operasi itu juga, polis berjaya menahan tiga suspek warganegara Pakistan berusia antara 26 hingga 29 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961.

“Pihak Kedutaan India akan dimaklumkan tentang kejayaan pantas kita menyelamatkan seorang warganegaranya yang menjadi mangsa penculikan dalam tempoh tidak sampai 24 jam selepas maklumat diterima,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN