SEBERANG PERAI – Seorang warga emas mengalami kecederaan parah pada kepala, paha kiri dan leher akibat dikelar suspek menggunakan sebilah pisau lipat di Pasar Awam Taman Sentosa, Machang Bubok di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 pagi itu, mangsa, Chiang Hin Beng, 61, dikatakan telah diserang oleh suspek lalu berlaku pertengkaran.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, suspek bertindak mengelar anggota badan mangsa menggunakan sebilah pisau lipat yang dibawanya dan melarikan diri sebaik melihat keadaan lelaki itu.
“Tangkapan ke atas suspek berusia 59 tahun itu dibuat selepas beberapa jam kejadian berlaku manakala pisau lipat miliknya ditemui di dalam longkang berhampiran lokasi kejadian.
“Akibat kejadian itu, mangsa menerima tiga jahitan pada kepala dan terpaksa menjalani pembedahan pada paha kiri akibat luka dalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Beritahu Nik Ros Azhan lagi, siasatan polis mendapati kejadian berlaku disebabkan masalah peribadi yang tidak diketahui sehingga membawa kepada dendam. – K! ONLINE










