Wanita warga Mesir maut kemalangan - Utusan Malaysia

Wanita warga Mesir maut kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 26 Julai – Seorang wanita warga Mesir maut selepas kereta Proton Iswara yang dinaiki bersama lima ahli keluarganya bertembung dengan sebuah kenderaan lain dari arah bertentangan di Kampung Titi Panjang, Kuala Ketil, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, mangsa, Elham Abdelhalim Abdelaziz Sallam, 36, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani akibat kecederaan parah pada bahagian dada.

Difahamkan dua lagi mangsa iaitu anak Elham Abdelhalim, Gehad Rabie Mohamed Mohamed Hefny, 8, dan pemandu kereta Perodua Kelisa, Radzuan Bin Wahab @ Ishak, 50, dilaporkan mengalami kecederaan parah akibat kemalangan tersebut.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shariffuddin Yusuf berkata, siasatan awal mendapati kereta Proton Iswara yang dinaiki Elham Abdelhalim dalam perjalanan dari arah Merbau Pulas menghala ke Kampung Tanah Licin.

“Apabila sampai di Kampung Titi Panjang, kereta tersebut dipercayai mengelak satu lubang yang berada di laluannya. Kereta yang dipandu suami mangsa yang maut itu mengelak ke kiri jalan.

“Suami mangsa yang dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas ke arah bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta Perodua Kelisa yang datang dari arah Kampung Tanah Licin menghala Merbau Pulas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Shariffuddin, penumpang hadapan kereta Proton Iswara meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, seorang penumpang belakang pula mengalami kecederaan parah manakala empat yang lain hanya mengalami kecederaan ringan.

“Sementara pemandu kereta Perodua Kelisa pula mengalami kecederaan parah dan sedang mendapat rawatan Hospital Sultan Abdul Halim.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengesan saksi di tempat kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN