Wanita stres disangka mahu bunuh diri gemparkan orang ramai - Utusan Malaysia

Wanita stres disangka mahu bunuh diri gemparkan orang ramai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT 25 Julai – Seorang pembantu makmal sebuah sekolah di Ulu Tiram, dekat sini menggemparkan orang ramai apabila dia yang membawa dua anaknya dipercayai bertindak menghentikan kereta di Jamba­tan Peserai di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, tindakan wanita berusia 27 tahun itu mengundang kegusaran orang ramai sehingga ada yang mendakwa dia dipercayai cuba terjun dari jambatan berkenaan.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, wanita yang memandu kereta Proton Saga itu dipercayai mengalami tekanan perasaan.

Menurutnya, tiada kes kematian dalam kenderaan seperti ditularkan netizen dalam kejadian tersebut, sebaliknya tindakan wanita itu yang berhenti di lorong motosikal menyebabkan kesesakan lalu lintas.

“Siasatan awal mendapati wanita itu dipercayai mengalami tekanan perasaan dan mengambil tindakan itu ekoran gagal menghubungi suaminya sejak tengah hari.

“Dia juga mendakwa tertekan kerana dimarahi pengetua sekolah­nya semasa cuba meminta sambung cuti selama sehari selain dihambur dengan perkataan kurang sopan,” katanya di sini hari ini.

Abdul Wahib memberitahu, wanita tersebut turut mendakwa mengalami masalah kewangan kerana suaminya tidak bekerja akibat kemalangan di tempat kerja sejak tujuh bulan lalu.

“Suaminya dikatakan me­ngalami kecederaan patah tangan akibat terjatuh dari bangunan semasa bekerja sebagai pemasang pendingin hawa dan difahamkan hingga kini tuntutan Perkeso belum diperoleh.

“Masalah kewangan yang dialami menyebabkan mereka dipercayai dihalau pemilik rumah sewa di Johor Bahru kerana gagal membayar tunggakan sewa selama dua bulan,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Wahib menjelaskan, wanita itu mengakui tiada niat untuk membunuh diri kerana masih mempunyai dua anak kecil, sebaliknya berada di jamba­tan itu akibat buntu dan berharap suaminya datang ke situ.

“Dia dinasihatkan balik bersama-sama dua anaknya kerana kea­daan diri yang masih kurang stabil dan akan dipanggil semula untuk dirakamkan percakapan. Malah, polis juga meminta orang ramai tidak menularkan berita palsu ko­nonnya wanita itu cuba membunuh diri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN