SHAH ALAM – Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyambut baik dan bersedia sekiranya pucuk pimpinan parti meletakkan calon wanita untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.
Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, akibat kanser limfoma, 2 Mei lalu.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Rodziah Ismail berkata, PKR mempunyai ramai calon wanita berkelayakan dan golongan tersebut terbukti mampu membawa kemenangan kepada parti sebagaimana pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mei lalu.
“Jika diikutkan sebelum PRU-14 kerusi DUN Sungai Kandis sememangnya dikhaskan untuk calon lelaki (daripada PKR).
“Bagaimanapun jika kepimpinan parti mahu berikan kerusi itu kepada calon wanita, sudah tentunya kita alu-alukan dan sambut baik.
“Pada saya wanita PKR sentiasa bersedia mengisi kepimpinan yang sedia ada dan terbukti banyak calon wanita daripada parti ini menang dan pilihan raya lalu,”katanya yang juga Ahli Dewan Negeri (ADUN) Batu Tiga.
Beliau ditemui selepas majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Batu Tiga di Seksyen 17, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Rodziah yang juga Exco kerajaan negeri turut menyatakan jentera wanita PKR telah bersedia untuk menghadapi PRK di DUN Sungai Kandis dan optimis kerusi tersebut akan dimenangi parti tersebut kerana ia antara kubu kuat mereka.
Mat Shuhaimi yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya akibat kanser limfoma pada pukul 11.10 pagi.
Beliau yang merupakan Ketua Penerangan PKR Selangor meninggalkan dua orang balu, Jamilah Sahak, 44 dan Rohani Satar, 42, bersama enam orang anak.
Mat Shuhaimi menjadi ADUN Sri Muda selama dua penggal sejak 2008 hingga 2018.
Pada PRU-14, beliau menang kerusi sama yang bertukar nama kepada DUN Sungai Kandis menewaskan calon Barisan Nasional(BN), Datuk Kamaruzzaman Johari; Mohd. Yusof Abdullah (Pas) dan Hanafiah Husin (Parti Rakyat Malaysia) dengan majoriti 12,480 undi. – K! ONLINE











