KUALA LUMPUR 25 Julai – Penyanyi Wani, 21, menerima teguran Da’i Luqman tentang penampilannya yang menari dalam muzik video Pendusta Cinta dengan hati terbuka.
Wani atau nama sebenarnya Nur Syazwani Selamat berkata, sebagai penggiat seni dia tidak kisah menerima teguran daripada siapa saja kerana sedar apa yang dilakukan tidak mampu memuaskan hati semua pihak.
“Walaupun Da’i Luqman tidak menyebut nama saya dalam Instagramnya tapi saya tahu kata-kata itu ditujukan kepada saya kerana status itu dimuat naik sehari selepas lagu Pendusta Cinta dikeluarkan dalam YouTube sejak 20 Julai lalu.
“Orang ramai berhak untuk berkata apa saja dan saya telah bersedia menerima sebarang komen. Untuk lagu Pendusta Cinta, saya cuba buat kelainan dan itu merupakan kali pertama saya menari. Pada saya tarian yang ditonjolkan tidaklah melampau, macam tarian zapin sahaja,” katanya kepada Utusan Online.
Jelas Wani, untuk lagu ciptaannya bersama DJ Fuzz dan Hez Hazmi itu, dia sengaja menampilkan kelainan dengan tarian yang tidak melampaui batas dan berduet dengan Waris. Sebelum ini Wani sering berpasangan dengan Juzzthin.
Selain mendapat teguran daripada Da’i Luqman, ada juga di antara netizen yang kecam gaya Wani menari kerana imejnya yang bertudung.
“Saya mahu kelainan untuk lagu rancak ini, sebab itu saya pilih untuk menari. Sebenarnya menari itu saja sudah mencabar diri kerana saya bukanlah penari. Lagipun tarian saya dan penari-penari wanita dalam muzik video itu tak keterlaluan. Kami semua memakai pakaian yang menutup aurat.
“Dari segi pakaian pun, saya masih mengenakan pakaian yang longgar dan selesa untuk menari. Saya mahu melakukan sesuatu yang baharu dalam setiap penampilan sebagai penyanyi,” katanya. -UTUSAN ONLINE










