Wan Saiful akui tiada keseragaman dalam mengumpul data peminjam PTPTN - Utusan Malaysia

Wan Saiful akui tiada keseragaman dalam mengumpul data peminjam PTPTN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Julai – Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan mengakui peminjam PTPTN harus mengemas kini semula data kerana perbadanan itu tidak memiliki hubungan bersistem dengan agensi atau perbadanan yang lain.

Kekangan itu menyebabkan peminjam terpaksa ‘buat kerja dua kali’ untuk memastikan diri masing-masing dapat menikmati tangguhan atau manfaat yang akan diberikan oleh PTPTN kelak.

“Kami mewarisi konsep sistem terdahulu dan cadangan untuk menyelaraskan data peribadi pengguna atau peminjam mungkin akan diambil kira.

“Kami juga tidak boleh mengambil data individu secara sesuka hati dari tempat-tempat lain dan keadaan ini mungkin akan diperbetulkan untuk memudahkan urusan semua pihak namun saya tetap tegaskan, hutang perlu dibayar bagi yang berkemampuan,” katanya di sini sewaktu mengadakan sidang akhbar berkenaan penangguhan pembayaran balik PTPTN, di sini hari ini.

Wan Saiful berkata lagi, bagi memudahkan pihak PTPTN menjalankan kajian dan pengurusan, semua peminjam harus mengemas kini data tersebut bermula hari ini sehingga selewat-lewatnya pada 25 Julai ini di laman www.ptptn.gov.my.

“PTPTN akan beranggapan peminjam yang gagal berbuat demikian adalah tidak berhasrat untuk memohon penangguhan bayaran balik dan tidak akan termasuk dalam dasar baharu yang berkait dengan bayaran yang akan dibuat,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya soalan kontroversi tentang pelantikan dirinya sebagai pengerusi di perbadanan itu, Wan Saiful menjawab, manifesto Pakatan Harapan adalah tidak membenarkan mana-mana individu atas lantikan politik berkhidmat di syarikat milik kerajaan (GLC), bukannya perbadanan seperti di PTPTN. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN