PUTRAJAYA 5 Julai – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyasarkan semua agensi kerajaan dapat mewujudkan pusat penjagaan kanak-kanak masing-masing menjelang 1 Januari tahun depan.
Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh berkata, kementerian akan membuat audit di semua agensi kerajaan dalam masa terdekat bagi memastikan semua agensi tersebut mempunyai pusat jagaan terutama mereka yang bekerja secara syif.
Langkah itu katanya, dapat mengelakkan kejadian yang menimpa bayi berusia lima bulan, Adam Rayqal Mohd. Sufi Naeif kelmarin daripada berulang.
“Sebagai galakan kepada majikan yang menyediakan kemudahan pusat penjagaan kanak-kanak ini, mereka layak mendapat pelepasan cukai daripada kerajaan.
“Mereka juga diberi insentif pengecualian cukai 10 peratus selama 10 tahun bagi ubah suai dan penyelenggaraan serta pemilikan bangunan untuk pusat asuhan kanak-kanak bagi majikan sektor swasta,” katanya kepada pemberita di pejabat kementerian di sini hari ini.
Kelmarin, polis menemukan mayat Adam Rayqal yang sebelum ini dilaporkan hilang selepas didakwa diambil seorang lelaki di rumah pengasuhnya di Jalan Nahkoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves, Selangor sebelum ini.











