KUALA LUMPUR – Penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dalam kalangan kanak-kanak di seluruh negara semakin membimbangkan apabila wabak itu kini mula merebak ke sekolah-sekolah di ibu kota.
Terbaru sebuah kelas di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Tun Dr. Ismail 2 di sini diarahkan tutup dan kesemua 36 murid bercuti 10 hari selepas empat daripadanya dijangkiti HFMD.
Pegawai Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dihubungi mengesahkan terdapat empat kes HFMD dilaporkan membabitkan murid lelaki tahun tiga sekolah itu.
“Menurut notis yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Daerah Kepong, hanya bilik darjah terbabit diarah tutup mulai semalam.
“Notis penutupan itu adalah bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman dibuat selain memastikan pelajar lain tidak dijangkiti wabak sama,” katanya kepada Bernama semalam.
Sementara itu, tinjauan di sekolah terbabit mendapati aktiviti persekolahan berlangsung seperti biasa dengan pihak pengurusan sekolah juga mengesahkan kesemua murid dari bilik darjah terbabit sudah bercuti mulai semalam.










