Wabak HFMD meningkat 37,986 kes - Utusan Malaysia

Wabak HFMD meningkat 37,986 kes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR 28 Julai – Kes wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di seluruh negara dilaporkan terus meningkat dengan mencatatkan 37,986 kes sejak Januari tahun ini.

Menteri Kesihatan, Dr. Dzul­kefly Ahmad berkata, kebanyakan negeri di seluruh negara juga me­ngalami peningkatan kes HFMD berbanding tempoh sama tahun lalu kecuali Sarawak.

Beliau bagaimanapun me­negaskan, kes HFMD di negara ini masih terkawal dan orang ramai tidak perlu bimbang.

“Jumlah wabak HFMD yang dilaporkan pula adalah 1,093 dengan 539 premis telah ditutup di seluruh negara melibatkan 241 taska, 259 tadika dan beberapa kelas daripada 39 buah sekolah.

“Sembilan buah sekolah turut ditutup melibatkan tujuh buah di Sabah dan masing-masing satu di Pulau Pinang dan Pahang,” kata­nya dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Gotong-Royong Mega 1.0 Perangi Aedes di Residensi Warisan, Bandar Puncak Alam di sini, hari ini.

Dzulkefly memberitahu, da­­lam usaha menangani pe­ning­katan kes HFMD, kerajaan te­lah memperkenalkan kempen pelaksanaan lima amalan me­ngawal dan mencegah jangkitan penya­kit terbabit.

Katanya, amalan itu ialah penjagaan kebersihan diri, amalan cuci tangan yang betul, penjagaan kebersihan persekitaran, saringan di pintu masuk taska atau sekolah dan nyah kuman permukaan yang tercemar.

“Selain itu, Kementerian Ke­sihatan melalui Bahagian Pendidikan Kesihatan juga telah mengadakan Program Pengukuhan Pendidikan Kesihatan Pe­nyakit HFMD bagi Guru-Guru Taska di negeri Selangor.

“Ini adalah program pe­ngu­kuhan pendidikan HFMD yang pertama bertujuan meningkatkan ke­sedaran dalam kalangan pengusaha dan tenaga pengajar di taska tentang langkah mencegah penyakit HFMD termasuk mempromosikan lima amalan terbabit,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN