[VIDEO] Yang di-Pertuan Agong berkenan ucap selamat jalan kepada jemaah haji - Utusan Malaysia

[VIDEO] Yang di-Pertuan Agong berkenan ucap selamat jalan kepada jemaah haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG 31 Julai – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan berangkat ke Kompleks Tabung Haji (TH) Sepang, di sini malam ini untuk mengucapkan selamat jalan kepada lebih 483 jemaah haji yang akan berlepas ke Tanah Suci.


Video oleh HAKIMI ISMAIL

Seri Paduka Baginda tiba di kompleks berkenaan pada pukul 10 malam diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mujahid Yusof dan timbalannya Fuziah Salleh.

Pada majlis itu, Seri Paduka Baginda bersalaman sambil mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji KT22 yang dijadual berangkat ke Tanah Suci menaiki pesawat Malaysia Airlines MH8142 pada pukul 1.30 pagi.

Yang turut hadir Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussen Qattan, Pengerusi TH, Tan Sri Md. Nor Md. Yusof dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat.

Bagi memberkati perjalanan para jemaah haji, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri membacakan doa memohon keselamatan dan dipermudahkan segala urusan ibadah mereka.

Laungan azan pula dialunkan oleh Penolong Pengurus Hal Ehwal Islam TH, Syafiq Syawal sebagai simbolik memuji kebesaran Allah yang menerima kumpulan jemaah haji berkenaan sebagai ‘tetamu-Nya’.

Sehingga kini, sebanyak 40 penerbangan yang membawa lebih 17,000 jemaah haji Malaysia telah pun tiba di tanah suci secara berperingkat.

Secara keseluruhan sebanyak 30,200 jemaah haji Malaysia akan dibawa ke Tanah Suci dengan menaiki 81 penerbangan bermula 14 Julai lalu sehingga 15 Ogos ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN