[VIDEO] Utusan terima lawatan delegasi Fujian dan CMEC - Utusan Malaysia

[VIDEO] Utusan terima lawatan delegasi Fujian dan CMEC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Julai – Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad hari ini menerima kunjungan delegasi daripada Fujian serta China Machinery Engineering Corporation (CMEC).

Delegasi tersebut tiba pada pukul 4.00 petang dan kehadiran mereka telah disambut oleh Pengarang Berita Ekonomi Utusan Malaysia, Johardy Ibrahim.

Dalam sebuah pertemuan ringkas, delagasi yang diketuai Ketua Pengarah Eksekutif Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Datuk Naim Mohamad memberitahu sebanyak dua acara pameran perniagaan secara besar-besaran akan berlangsung di Malaysia pada Ogos dan Disember ini.

“Pada 15 hingga 18 Ogos, Pameran Pembuatan Pintar 2018 (SMEX 2018) akan diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

“Seterusnya pada 13 hingga 16 Disember, Pameran Jenama Fujian Di Laluan Sutera Maritim – Kuala Lumpur pula akan diadakan dan kedua-dua pameran ini dijangka mampu mencatat kehadiran sehingga 10,000 pengunjung,” katanya ketika ditemui Utusan Online, hari ini.

Turut hadir, Pengarang Kanan Unit Media Baharu Utusan Malaysia, Aznan Bakar, Timbalan Pengurus Besar CMEC Internatiol Exhibition Co. Ltd., Maggie Lee serta Timbalan Pengurus Besar Huiyan (China) International Exhibition Co. Ltd., Nelson Zhang.

Ketika diajukan soalan mengenai SMEX 2018, Maggie memberitahu ia adalah sebuah pameran yang bercirikan sektor pembuatan dan juga robotik.

“Memandangkan kedua-dua negara seperti Malaysia dan China sering melihat dan mencari alternatif untuk kemajuan dari segi teknologi untuk sektor-sektor tertentu, pameran sebegini pasti akan meluaskan jaringan perniagaan bagi kesemua usahawan yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, Nelson yang menguruskan Pameran Jenama Fujian Di Laluan Sutera Maritim – Kuala Lumpur pula berkata, Malaysia dan China mempunyai hubungan yang sangat rapat dari segi ekonomi dan budaya.

“Malah kebanyakan orang Cina yang dibawa ke sini suatu masa dahulu adalah datangnya daripada orang-orang Fujian maka, hubungan ekonomi dapat dijalankan dengan baik ditambah pula Malaysia juga memiliki kelebihan dari segi kepelbagaian kaum,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN