[VIDEO] Tak sempat jumpa 2 anak - Utusan Malaysia

[VIDEO] Tak sempat jumpa 2 anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 14 Julai – Hasrat seorang bapa untuk bertemu dua anaknya di Selangor tidak tertunai apabila lelaki itu maut bersama tiga lagi mangsa dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer 445.9, Lebuh Raya Utara- Selatan arah selatan berhampiran Rawang dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, Noorakhirludin Alam Mohammad Noor, 48, yang merupakan pemandu To­yota Vellfire meninggal dunia di tempat kejadian bersama tiga lagi mangsa iaitu pemandu Perodua Alza, Nur Fitrah Rosman, 24; serta penumpangnya, Mohamad Hafiz Shahrul Jefri Din, 24 dan Nurbaya Mohd. Zaki, 24.

Noorakhirludin Alam yang tinggal di Bertam, Pulau Pinang ketika itu dalam perjalanan bersama isteri, Maskiah Mat Saad, 41, dan anak bongsu, Ezzudin, 10, untuk melawat dua lagi anaknya yang belajar di Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya dan Pusat Permata Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Se
langor.

Seolah-olah tahu tragedi berpunca daripada sebuah lori treler yang terbabas ke laluan bertenta­ngan itu bakal menimpanya, mangsa sempat menghubungi kakaknya, Noor Bunga Mawarraya Mohammad Noor, 49, kira-kira 45 minit sebelum kemalangan untuk memaklumkan dia tidak datang ke rumah wanita berkenaan.

“Pada kebiasaannya Noorakhirludin Alam yang bekerja sebagai pe­ngurus kanan sebuah syarikat swasta akan singgah di rumah saya di Cheras setiap kali dia dan keluarga datang ke ibu negara. Tapi kali ini dia beritahu tidak singgah dan akan pergi terus ke Bangi… saya rasa pelik juga.

“Saya tidak sangka itu kali terakhir saya mendengar suaranya… saya reda dengan ketentuan ini,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, anak mangsa, Ezzudin cedera parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital, manakala isterinya, Maskiah dan dua lagi mangsa termasuk pemandu treler cedera.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Tra­fik Selangor, Superintenden Azman Shari’at memberitahu, siasatan awal mendapati treler yang dipandu lelaki berusia 45 tahun itu dipercayai bergesel dengan Perodua Myvi lalu merempuh kereta Nissan Almera sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bergesel pula dengan bas persiaran.

Ujarnya, tiga kenderaan lain iaitu BMW, Toyota Vellfire dan Perodua Alza di laluan bertentangan tidak dapat mengelak treler tersebut, menyebabkan empat maut.

“Berikutan kemalangan tersebut, laluan arah selatan lebuh raya mengalami kesesakan sejauh 20 ki­lometer. Bagaimanapun kenderaan yang terlibat dengan nahas telah ditarik ke tepi bagi membolehkan dua lorong digunakan.

“Mangsa yang maut dan cedera akibat kemalangan tersebut telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh dekat sini untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN