KUALA LUMPUR: Pelakon, Dayang Areeda berpandangan setiap pelakon berhak menyuarakan pandangan mengenai babak yang perlu dijayakan dengan pihak pengarah sekiranya tidak membantu jalan penceritaan.
Menurut Dayang, dia lebih terbuka untuk berbincang dengan pengarah jika sesuatu babak yang dijayakan itu memerlukannya untuk melakukan adegan yang kurang sesuai dijadikan sebagai tontonan.
“Sebenarnya saya jarang dapat karya yang memerlukan babak terlalu ekstrem. Selalunya, kalau ada pun, pengarah akan berbincang terlebih dahulu sama ada kita mahu melakukannya atau tidak.
“Tetapi, saya tidaklah terlalu berprinsip. Malah, saya tidak mempunyai sebarang syarat seperti tidak boleh bersentuhan atau sebagainya untuk setiap watak atau karya yang diterima.
“Cuma semuanya boleh dibincangkan. Kalau saya rasa perkara itu tidak perlu, kenapa perlu buat?” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam masa sama, pelakon drama Sekali Lagi Bahagia itu mengakui meskipun tidak terlalu memilih untuk menjayakan sebarang watak, dia percaya persetujuan pelakon perlu diambil kira sebelum sesuatu adegan dijayakan.
“Semuanya bergantung kepada pelakon. Saya sebenarnya bukanlah seorang yang memilih. Kalau ada sesuatu babak, selalunya kita boleh berbincang dengan pengarah.
“Kalau pengarah rasa benda itu tidak perlu, maka tidak perlulah kita lakukan. Kalau sedikit-sedikit itu bolehlah, tetapi kalau lebih-lebih, janganlah,” tegasnya.
Sementara itu, Dayang bersyukur teman lelakinya, Haziq Dean yang turut berada dalam industri seni memahami tuntutan kerjayanya sebagai pelakon, malah sentiasa memberikan sokongan terhadap setiap tawaran kerja yang diterimanya.
“Haziq memang seorang yang sangat ‘sporting’. Dia menyokong saya dan setiap kali mendapat tawaran kerja baharu, saya akan beritahu dia.
“Saya rasa selesa sebab kami berada dalam industri yang sama. Jadi, apa sahaja yang saya atau dia lakukan, kami faham. Tetapi sudah tentu jangan sampai melebihi batas,” jelasnya.
Mengulas mengenai hubungannya bersama Haziq, Dayang menjelaskan setakat ini mereka belum mempunyai perancangan untuk melangkah ke fasa yang lebih serius meskipun sudah hampir dua tahun menjalinkan hubungan cinta.
“Kami belum meletakkan sebarang perancangan atau tempoh tertentu. Saya mahu dia capai dahulu apa yang dia inginkan dalam kehidupan. Saya mahu dia dapat apa yang dia sasarkan. Jadi, saya tidak mahu mendesak atau memaksa dia.
“Walaupun usia saya sudah semakin meningkat, orang kata umur 32 tahun ini sudah bolehlah fikir ke arah itu, tetapi tidak mengapa. Saya sanggup tunggu dia. Saya mahu dia berjaya dahulu,” ujarnya.
Terdahulu, sebuah drama terbitan IQIYI Original yang berjudul Madu Atau Racun dihentikan tayangannya susulan menerima kecaman hebat dari penonton kerana didakwa mengangkat isu hubungan kaum sejenis.











