KUALA LUMPUR 26 Julai – ‘Saya tidak boleh sahkan, juga tidak boleh nafikan’, demikian tegas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika diminta mengulas isu surat kepada Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) oleh badan perisik negara.
Surat yang dikatakan cuba mendapatkan sokongan CIA itu ditulis ketika Najib menguasai kerajaan.
Najib berkata, isu tersebut membabitkan agensi perisikan kedua-dua negara.
“Sama ada mereka (agensi perisikan Malaysia) menulis atau tidak, awak tanya mereka, terpulang kepada mereka (menjawab atau tidak).
“Bagaimanapun agensi tidak sepatutnya memberi komen tentang kebocoran maklumat seperti ini, (jika komen) ia memberi satu tanda aras yang tidak baik,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Najib berkata, bukan menjadi dasar negara mendedahkan surat-surat tersebut kerana rahsia kerajaan.
“Jadi kalau kita dedah, jadi maknanya dah tak ada apa yang kita anggap sebagai rahsia dalam kerajaan,” ujarnya.
Beliau turut menafikan surat tersebut boleh mempengaruhi keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.
“Ia berlaku (surat ditulis) semasa kempen. Ia tidak akan mempengaruhi keputusan pilihan raya umum,” katanya. – UTUSAN ONLINE









