[VIDEO] Rumah usang jadi ‘syurga’ warga emas - Utusan Malaysia

[VIDEO] Rumah usang jadi ‘syurga’ warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERLUN 15 Julai – Rumah mereka betul-betul terletak di tepi jalan namun selama ini mungkin terlalu ramai yang terlepas pandang terhadap kedaifan serta kesukaran hidup dilalui warga emas, Ismail Saleh, 75 dan isterinya, Rokiah Tayed, 69, di Kampung Matang Paku, Ayer Hitam dekat sini.


Video oleh FARIZ RUSADIO

Dalam keadaan isterinya lumpuh dan menghidap penyakit parkinson, pasangan tersebut tinggal dalam rumah yang tidak cukup sifat dengan dindingnya sudah ada yang terkopak, kayu mereput dan sebahagian bumbungnya pula sudah pun roboh.

Menurut Ismail, dia dan isteri hanya mengharapkan bantuan sebanyak RM300 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyara kehidupan.

“Kadang-kadang adalah juga orang hulurkan sumbangan. Saya sendiri tidak mampu untuk be­kerja kerana sudah ber­usia, se­ring mengalami sakit dada selain perlu menjaga isteri di rumah.

“Sejak hampir 20 tahun lalu, isteri tidak boleh berjalan kerana terdapat urat kaki kanannya yang putus akibat kemalangan jalan raya. Ditambah dengan sakit parkinson yang lama dihidapi, dia memang banyak bergantung kepada saya selain perlu memakai lampin pakai buang,” katanya ketika ditemui di rumahnya dekat sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, rumah didiaminya itu sememang­nya rumah peninggalan keluarga yang didiami sejak kecil.

“Ketika ini saya ada mengumpul beberapa daun nipah untuk disulam dijadikan atap bagi membaiki sedikit sebanyak bahagian yang rosak.

“Rasanya masih ada daya untuk saya buat sendiri. Begitu pun kalau ada mana-mana pihak sudi membantu untuk membaiki rumah, saya terima,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Aziz Mahmud yang menziarahi pasangan suami isteri itu memaklumkan, beliau akan membawa perkara tersebut ke dalam Me­syuarat Tindakan Pembangunan Daerah yang dijadualkan pada minggu depan.

“Seboleh-bolehnya saya meng­harapkan supaya dapat didi­rikan sebuah rumah baharu yang selesa untuk mereka berdua,” katanya.

Mana-mana pihak yang mahu menghulurkan bantuan boleh menghubungi Ismail di talian 012-5816104 atau menyalurkannya menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 02129-29-00002983-8.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN