KUALA LUMPUR 26 Julai – Remaja yang berusia 18 tahun sewajarnya didedahkan dengan pendidikan berinstitusi dan aktiviti kemasyarakatan terlebih dahulu sebelum diberi peluang untuk memilih kepimpinan negara.
Ini selari dengan keadaan mereka pada usia itu yang baharu menamatkan zaman persekolahan dan lebih runsing memikirkan sama ada hendak bekerja atau masuk ke institusi pengajian tinggi.
Selain itu, perbandingan terhadap negara-negara yang membenarkan rakyat mereka berusia 18 tahun juga tidak boleh dicontohi kerana latar belakang pendidikan serta pendedahan terhadap politik berbeza dengan Malaysia.
![]() |
|
MOHD. AMIRUL AKHBAR
|
Pengarah Institut Pengajian Kewartawanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Amirul Akhbar Mohd. Zulkifli berkata, had umur mengundi pada umur 21 tahun adalah cukup matang dan pengundi boleh membuat pilihan dengan bijak.
Beliau berkata, kerajaan seharusnya memberikan platform kepada belia untuk mereka terlibat dalam institusi pendidikan, kekeluargaaan, keagamaan dan kemasyarakatan yang selaras dengan pemahaman terhadap rukun negara.
“Apabila golongan remaja mempunyai pemahaman yang kukuh terhadap rukun negara, mereka pasti akan matang dalam mengamalkan demokrasi.
“Namun bagaimana kementerian akan mencari pendekatan kepada remaja supaya mereka memahami konsep demokrasi dan mereka mampu membuat pilihan tepat ketika mengundi,” katanya ketika ditemui Utusan Online semalam.
Tambah beliau, antara usia 18 hingga 21 tahun adalah tempoh yang sesuai bagi kerajaan untuk membentuk kematangan golongan berkenaan menerusi pelbagai aspek.
“Persoalan yang timbul terhadap remaja berusia 18 tahun adalah, kebolehan mereka untuk bersosialisasi.
“Justeru, itulah yang akan menjadikan mereka matang dalam aspek demokrasi dan memahami kehendak masyarakat,” ujarnya.
Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah bertemu dengan Peguam Negara, Tommy Thomas untuk memperhalusi pindaan undang-undang bagi menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun berbanding 21 tahun sekarang.
Beliau berkata, cadangan yang akan dibentang dalam mesyuarat Kabinet dan Parlimen itu mencontohi negara-negara seperti Filipina, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis yang membenarkan rakyat berusia 18 tahun untuk mengundi. – UTUSAN ONLINE
Video oleh Mohamad Athir Ismail











