RASAH 20 Julai – Tempoh reman terhadap tiga daripada lima anggota polis yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes rasuah berkaitan penjualan dadah minggu lalu dilanjutkan antara sehari dan tujuh hari bermula hari ini.
Video oleh ABD. RAZAK AID
Salah seorang anggota polis yang berusia 29 tahun dan diwakili peguam Che Muji Che Noh disambung reman selama tujuh hari, manakala dua lagi suspek berusia 50 dan 51 tahun diwakili peguam Azizi Abdul Aziz, masing-masing direman selama sehari.
Perintah reman ke atas anggota polis berpangkat koperal dan sarjan itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman Seremban, Emysuriana Muhammad Subry selepas permohonan dikemukakan Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Khairi Abdul Karim.
Dua lagi anggota polis berusia 29 dan 37 tahun dalam kes sama masing-masing dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM5,000 berserta seorang penjamin.
Terdahulu, ketiga-tiga suspek terbabit dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada pukul 10.14 pagi oleh SPRM untuk permohonan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Pada 15 Julai lalu, mahkamah memerintahkan lima anggota polis itu direman enam hari bagi membantu siasatan SPRM kerana disyaki berpakat meminta rasuah RM5,000 daripada seorang lelaki yang dikatakan terlibat dalam aktiviti menjual dadah supaya tindakan tidak diambil terhadapnya.
Kesemua mereka ditahan oleh pegawai SPRM antara pukul 2 petang hingga 11.40 malam Sabtu lalu.










