Video rakaman pikat kelab Eropah - Utusan Malaysia

Video rakaman pikat kelab Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIAPA sangka, berbekalkan video rakaman corak permainan skuad hoki wanita negara menyaksikan tujuh pemain telah berjaya memikat kelab-kelab Eropah dari Jerman, Itali dan Scotland.

Individu bertanggungjawab menjual resume tujuh tonggak tersebut ialah ketua jurulatih Malaysian Tigress, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah dan bekas pemain kebangsaan, S. Selvaraju.

“Saya mahu hoki wanita berubah kepada pasukan yang mempunyai pemain berkelas dunia, bukannya setakat terbaik di Malaysia atau Asia Tenggara. Bagi memastikan ia berlaku, mereka perlu bermain satu pasukan dengan pemain-pemain Eropah.

“Harapan saya agar suatu hari nanti akan ada pemain negara bermain dalam saingan liga terbaik dunia iaitu divisyen tertinggi Hoofdklasse di Belanda,” kata Dhaarma ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pemain Harapan Terbaik Asia 2017, Hanis Nadiah Onn dan Wan Norfaeizah Md. Saiuti berjaya memikat ‘pendatang baharu’ Divisyen Satu Liga Jerman, Zeh­lendorfer Wespen yang pernah menyatakan minat untuk mendapatkan Norbaini Hashim serta Juliani Mohamad Din.

Bagaimanapun Selvaraju mendedahkan, Norbaini dan Juliani hampir-hampir muncul pemain hoki wanita pertama negara beraksi di Jerman dua tahun lalu sebelum ia tidak menjadi kenyataan apabila dibatalkan pada saat-saat akhir.

“Kelab itu di divisyen kedua sewaktu berminat dengan khidmat Norbaini dan Juliani tetapi sekarang mereka sudah naik pangkat ke divisyen satu. Ini adalah satu peluang keemasan buat Hanis dan Wan Norfaeizah.

“Mereka cukup tertarik melihat persembahan Hanis dan Wan Norfaeizah berdasarkan pita rakaman dihantar. Pengurusnya beritahu mahu terus mengekalkan khidmat dua pemain ini jika mereka berjaya pamer prestasi terbaik di sana.

“Nama Malaysia dalam arena hoki wa­nita sudah meningkat. Saya harap ia akan menjadi titik permulaan supaya lebih ramai lagi akan mendapat tempat bermain di Eropah,” jelas Selvaraju.

Pakar flick negara, Nuraini Abdul Rashid dan Fatin Shafika Mahd. Sukri akan ‘terbang’ ke Rom menyertai kelab Divisyen Satu Liga Itali, Butterfly Roma apabila segala urusan terutama dari segi visa selesai.

Tiga lagi pemain Malaysian Tigress iaitu Raja Norsharina Raja Shabuddin, Surizan Awang Noh dan Nuraslinda Said akan menyarung jersi Kelab Hoki Uddingston di Glasgow, Scotland.

Tujuh pemain itu dijangka menyertai kelab masing-masing selepas tamat Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia bulan depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN