[VIDEO] Pengorbanan rakyat Turki pertahankan demokrasi - Utusan Malaysia

[VIDEO] Pengorbanan rakyat Turki pertahankan demokrasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL 16 Julai – Jutaan rakyat Turki membanjiri Jambatan Bosphorus di sini, malam tadi bersama-sama menyambut ulang tahun kedua kegagalan rampasan kuasa atau kudeta yang didalangi oleh Kumpulan Pengganas Fetullah Gulen (Feto) dua tahun lalu.

Kehadiran sebegitu ramai rakyat Turki jelas menggambarkan betapa besarnya sokongan mereka terhadap usaha kerajaan diketuai oleh Presidennya, Recep Tayyip Erdogan dalam mempertahankan demokrasi selepas sistem itu dicemari dengan kudeta terburuk di negara berkenaan, 15 Julai 2016.

Sambutan secara besar-besaran itu turut dihadiri Erdogan yang baru sahaja memenangi pilihan raya Pre­siden, bulan lalu bersama pemimpin-pemimpin Turki yang lain.

Beliau kemudian berucap di hadapan jutaan rakyat Turki yang berhimpun sambil mereka mengibar bendera negara itu dengan penuh semangat.

Terdahulu sebelum bermula ucapan Erdogan, sebanyak 250 nama rakyat Turki yang terkorban pada malam peristiwa hitam itu disebut satu persatu.

Cukup beremosi apabila jutaan rakyat yang berhimpun menyorak ‘anda tetap ada di sini’ sebaik sahaja nama-nama pejuang terkorban itu disebutkan.

Jika diimbas pada malam kejadian iaitu pada 15 Julai 2016, rakyat Turki dengan sukarela turun di jalanan mempertahankan negara itu daripada kudeta sebaik sahaja Erdogan membuat ucapan secara langsung kepada rakyat melalui media sosial.

Akhirnya cubaan rampas kuasa yang hanya berlaku semalaman itu berjaya dipatahkan apabila rakyat Turki termasuk wanita serta remaja turun beramai-ramai tanpa mengira parti dan fahaman menghalang pergerakan serta sekatan tentera bagi mempertahan kerajaan pimpinan Erdogan dari Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP).

Berdasarkan rekod, Turki telah mengalami lima kali sejarah hitam an­caman kudeta tentera iaitu pada 1960, 1971, 1980, 1997 dan 15 Julai 2016 adalah paling buruk. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN