[VIDEO] Pengorbanan rakyat Turki demi maruah demokrasi - Utusan Malaysia

[VIDEO] Pengorbanan rakyat Turki demi maruah demokrasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL 16 Julai – Jutaan rak­yat Turki membanjiri Jambatan Bosphorus di sini, malam tadi bersama-sama menyambut ulang tahun kedua kegagalan rampasan kuasa atau kudeta yang didalangi oleh Kumpulan Pengganas Fetullah Gulen (Feto) dua tahun lalu.


Video oleh SAIFULIZAM MOHAMAD

Kehadiran sebegitu ramai rak­yat Turki jelas menggambarkan betapa besarnya sokongan mereka terhadap usaha kerajaan diketuai oleh Presidennya, Recep Tayyip Erdogan dalam mempertahankan demokrasi selepas sistem itu dicemari dengan kudeta terburuk di negara berkenaan, 15 Julai 2016.

Sambutan secara besar-besaran itu turut dihadiri Erdogan yang baru sahaja memenangi pilihan raya Presiden bulan lalu bersama pemimpin-pemimpin Turki yang lain.

Beliau kemudian berucap di hadapan jutaan rakyat Turki yang berhimpun sambil mereka mengibar bendera negara itu dengan penuh semangat.

“Sesungguhnya pengorbanan rakyat dalam mempertahankan demokrasi Turki adalah sesuatu yang terlalu tinggi nilainya dan semangat 15 Julai inilah yang menjadi saksi serta bukti kepada dunia bahawa anda semua adalah pejuang yang sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahankan demokrasi daripada dirosakkan oleh pihak membe­rontak,” katanya.

Terdahulu sebelum bermula ucapan Erdogan, sebanyak 250 nama rakyat Turki yang terkorban pada malam peristiwa hitam itu disebut satu persatu.

Cukup beremosi apabila jutaan rakyat yang berhimpun menyorak ‘anda tetap ada di sini’ sebaik sahaja nama-nama pejuang terkorban itu disebutkan.

Jika diimbas pada malam kejadian iaitu pada 15 Julai 2016, rakyat Turki dengan sukarela turun di jalanan mempertahankan negara itu daripada kudeta sebaik sahaja Erdogan membuat ucapan secara langsung kepada rakyat melalui media sosial.

Akhirnya cubaan rampas kuasa yang hanya berlaku semalaman itu berjaya dipatahkan apabila rakyat Turki termasuk wanita serta remaja turun beramai-ramai tanpa mengira parti dan fahaman menghalang pergerakan serta sekatan tentera bagi mempertahan kerajaan pimpinan Erdogan dari Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP).

Berdasarkan rekod, Turki telah mengalami lima kali sejarah hitam ancaman kudeta tentera iaitu pada 1960, 1971, 1980, 1997 dan 15 Julai 2016 adalah paling buruk.

Erdogan berkata, pada malam peristiwa itu tiada istilah takut, sebaliknya rakyat sanggup keluar beramai-ramai di jalanan menentang tentera pemberontak yang turut bersenjatakan jet pejuang dan kereta kebal.

“Di jambatan inilah bermulanya usaha rampasan kuasa namun rakyat Turki telah menunjukkan keberanian yang luar biasa. Selepas ini tiada lagi istilah penjajah atau kudeta dalam kamus Turki sebaliknya kita akan terus me­nyuburkan demokrasi di negara ini.

“Hakikatnya, rakyat Turki adalah bangsa yang hebat. Rakyat Turki adalah pejuang dan rakyat Turki adalah bangsa yang berani,” kata Erdogan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN