[VIDEO] Pencerobohan: Maritim Malaysia cadangkan hukuman lebih berat - Utusan Malaysia

[VIDEO] Pencerobohan: Maritim Malaysia cadangkan hukuman lebih berat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 17 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan termasum pindaan akta  bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap nelayan asing yang  menceroboh perairan negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar menegaskan, dengan pencerobohan berterusan dan negara kehilangan sumber begitu besar, kira-kira RM6 bilion setahun, sudah tiba masanya langkah lebih tegas termasuk turut mengenakan sebatan terhadap pesalah agar mereka serik.

“Kita akan kemukakan cadangan termasuk beberapa pindaan akta (berkaitan pencerobohan di perairan negara), kalau boleh turut dikenakan hukuman sebat,” katanya dalam sidang akhbar mengenai tangkapan bot nelayan asing dan isu pencerobohan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Muda Maritim Datuk Zulkarnain Mohd. Omar dan Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Rahim Ramli.

Beliau turut menarik perhatian tentang usaha untuk mendesak Kesatuan Eropah (EU) mengenakan ‘kad merah’ ke atas nelayan Vietnam yang berterusan menceroboh perairan negara.

“Kita akan hantar surat kepada EU dalam masa terdekat ini supaya tidak lagi kenakan kad kuning atau amaran kepada nelayan Vietnam sebagaimana sebelum ini, tapi kad merah sekali gus mengharamkan mereka daripada mengeksport hasil laut ke Eropah,” katanya.

Beliau menjelaskan, sejak Januari hingga 15 Julai lalu, pihaknya mencatat 78 kes pencerobohan terutama oleh nelayan Vietnam, dan jumlah itu menurun sedikit berbanding 121 kes tahun lalu.

Dalam kes terbaharu semalam, dua lagi bot nelayan Vietnam ditahan bersama keseluruhan rampasan bernilai RM3 juta di dua lokasi berbeza antara 58 hingga 62 batu nautika daripada muara Kuala Terengganu.

Katanya, setelah diperiksa, kesemua 23 kru termasuk tekong berusia 19 hingga 51 tahun di dapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN