KUALA LUMPUR 28 Julai – Meletakkan empat penghibur lelaki bergelar Datuk di atas pentas berprestij Istana Budaya, dekat sini, memberikan satu tanda aras dalam kelas mereka tersendiri dalam mengadakan sebuah persembahan, Baik Punya Konsert 4D.
Dianjurkan oleh produksi milik Hans Isaac, Tall Order, persembahan selama dua setengah jam oleh Awie, AC Mizal dan Afdlin Shauki, selain daripada Hans sendiri, malam tadi turut disaksikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.
Sebelum memulakan persembahan, Hans sambil disaksikan oleh Gobind, menyerahkan cek replika bernilai RM20,000 kepada Pengasas Bersama Yayasan Chow Kit (YCK), Dr. Hatini Zainudin untuk disalurkan kepada yayasan tersebut.
Kata Hans, konsert itu tidak mendapat tajaan daripada mana-mana pihak sebaliknya, hasil daripada penjualan tiket kepada penonton, itulah yang digunakan untuk diserahkan kepada YCK.
Persembahan Baik Punya Konsert 4D (istilah 4D merujuk kepada empat orang Datuk: Awie, Ac Mizal, Afdlin Shauki dan Hans Isaac) menggunakan pendekatan penceritaan (narasi) kepada audiens.
Menyelitkan elemen penglipurlara sebagai pembuka persembahan, pengenalan kepada keempat-empat penghibur lelaki ini bermula dengan tempat kelahiran masing-masing.
Awie, misalnya, anak jati Kuala Lumpur, memulakan langkah sebagai penyanyi utama kumpulan rock lagenda, Wings yang mana semua peminat dan pengikutnya tahu tentang sejarah permulaan pemilik nama sebenar, Ahmad Azhar Othman. Afdlin, Ac Mizal dan Hans juga diperkenalkan kepada audiens malam tadi dengan kaedah yang sama.
Baik Punya Konsert 4D bukanlah sebuah persembahan berupa konsert yang lazim dapat ditonton di Istana Budaya.
Walaupun penggunaan teknik latar pentas yang canggih dan harus diberikan pujian, apa yang nyata ketika berpeluang menonton persembahan ini malam tadi, ini adalah sebuah persembahan berupa konsert yang unik, lain daripada yang lain, amat berbeza tetapi menghiburkan.
Selama dua setengah jam duduk menonton Baik Punya Konsert 4D, memang pecah perut kerana kejujuran satu sama lain (Awie, Ac Mizal, Afdlin dan Hans) berkongsi pengalaman sebagai anak seni termasuk peribadi, dibuka dalam bentuk humor. Membahankan di antara satu sama lain atau dalam erti kata lain, membuka pekung di dada sebagai plot yang disulami dengan nyanyian dan props yang menggambarkan seorang tertuduh duduk di dalam kandang mahkamah, dipaparkan secara bersahaja dalam persembahan ini.
Bijak apabila pihak produksi Tall Order melahirkan idea dan dijadikan sebuah konsep persembahan yang mengisi Baik Punya Konsert 4D. Sejajar dengan judul persembahan mereka, keempat-empat artis tanah air ini memaparkan bahawa mereka adalah seorang penyanyi (Hans juga mampu menyanyi dengan baik), mereka adalah pelakon dan mereka juga adalah pelawak yang bukan dilihat sebagai badut sarkis.
Bagaimanapun, apa yang dipaparkan oleh keempat-empat penghibur lelaki tanah air ini ialah kemampuan mereka berdiri sebagai satu kumpulan bersuara harmoni menyampaikan sebuah lagu yang diberikan judul amat lucu, Spendher Longgar tetapi dengan susunan muzik penyanyi bersuara besar dari Itali, Andrea Bocelli.
Malam ini adalah malam terakhir persembahan Baik Punya Konsert 4D di Istana Budaya. Rugi sekiranya terlepas peluang untuk menonton sebuah persembahan yang tidak mungkin ada siaran ulangannya pada sama akan datang.
Bayangkan segagah-gagah Awie, segarang-garang ‘ayahanda’ Awie, beliau sebenarnya takut kepada belon. Inilah contoh rahsia yang tidak pernah dibuka kepada khalayak tetapi dibongkarkan oleh Hans dalam Baik Punya Konsert 4D malam tadi.
Memetik kata-kata Awie yang spontan di atas pentas Istana Budaya malam tadi ketika ditakutkan dengan sebiji belon, “Aku bukan takut belon. Aku hormat belon.”
Tiket berharga RM98 boleh dibeli di www.airasiaredtix.com dan tidak pasti sama ada tiket masih boleh dibeli sekarang kerana ia hampir habis terjual. – UTUSAN ONLINE









