JERLUN 15 Julai – Dari luar tiada siapa barangkali menyangka rumah usang yang mungkin roboh bila-bila masa ini rupa-rupanya adalah ‘syurga’ suami isteri warga emas ini.
Begitu juga, biarpun rumah mereka betul-betul terletak di tepi jalan di Kampung Matang Paku Ayer Hitam dekat sini namun ramai yang terlepas pandang dengan kedaifan serta kesukaran hidup dilalui pasangan warga emas, Ismail Saleh, 75 dan isterinya, Rokiah Tayed, 69,
Dalam keadaan isterinya lumpuh dan menghidap penyakit parkinson, pasangan tersebut tinggal dalam rumah yang tidak cukup sifat dengan dindingnya sudah ada yang terkopak, kayu mereput dan sebahagian bumbungnya pula sudah pun roboh.
Menurut Ismail, dia dan isteri hanya mengharapkan bantuan sebanyak RM300 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyara kehidupan.
“Kadang-kadang adalah juga orang hulurkan sumbangan. Saya sendiri tidak mampu untuk bekerja kerana sudah berusia, sering mengalami sakit dada selain perlu menjaga isteri di rumah.
“Sejak hampir 20 tahun lalu, isteri tidak boleh berjalan kerana terdapat urat kaki kanannya yang putus akibat kemalangan jalan raya. Ditambah dengan sakit parkinson yang lama dihidapi, dia memang banyak bergantung kepada saya selain perlu memakai lampin pakai buang,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, rumah didiaminya itu sememangnya rumah peninggalan keluarga yang didiami sejak kecil.
“Ketika ini saya ada mengumpul beberapa daun nipah untuk disulam dijadikan atap bagi membaiki sedikit sebanyak bahagian yang rosak.
“Rasanya masih ada daya untuk saya buat sendiri. Begitu pun kalau ada mana-mana pihak sudi membantu untuk membaiki rumah, saya terima,” katanya.
Mana-mana pihak yang mahu menghulurkan bantuan boleh menghubungi Ismail di talian 012-5816104 atau menyalurkannya menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 02129-29-00002983-8. – UTUSAN ONLINE










