KOTA BHARU 17 Julai – Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) akan ‘menularkan’ premis makanan yang mendapat Sijil Penarafan Kebersihan Premis Makanan gred A sebagai galakan kepada pengusaha meningkatkan mutu kebersihan.
Yang Dipertua MPKB-BRI, Ahmad Robert Abd Rahim berkata, sehingga kini terdapat 3,018 premis makanan berdaftar di bawah Jabatan Pelesenan MPKB-BRI yang beroperasi dalam kawasan bandar ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal selama dua minggu ke atas 239 premis pada Julai lalu, sebanyak 22 premis mendapat gred A bagi kategori sangat bersih, 107 premis gred B (bersih) dan 110 premis pula dikategorikan di bawah gred C iaitu kurang bersih.
“Kita bercadang untuk membuat senarai premis makanan yang mendapat gred A dan menghebahkannya sehingga menjadi tular.
“Ia sebagai langkah promosi kepada masyarakat sama ada dalam atau luar Kelantan supaya menjadikan premis yang bersih sebagai pilihan.
“Syarat utama untuk mendapat gred A adalah memastikan kebersihan dari sudut penyediaan dan pengendalian makanan, persekitaran premis yang bersih serta penjagaan aurat pengusaha dan kakitangan bertugas,”katanya.
Beliau berkata demkian kepada pemberita semasa menyertai Operasi Bersepadu MPKB-BRI bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu di sini hari ini.
Turut serta, Pegawai Kesihatan Persekitaran, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu, Mat Ghahit Mohamed.
Seramai 36 anggota dari MPKB-BRI dan Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu terlibat dalam operasi pemeriksaan ke atas premis makanan bermula pukul 10 pagi sehingga pukul 5 petang ini. – UTUSAN ONLINE










