KLANG 25 Julai – Pasar malam sinonim dengan lokasi orang ramai membeli keperluan harian dan kebiasaannya hanya kedengaran riuh rendah suara peniaga melaungkan produk jualan masing-masing.
Namun, keadaan di Pasar Malam Taman Sri Andalas petang semalam sedikit berbeza apabila tidak kedengaran suara peniaga, sebaliknya suara dua calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis yang berkongsi pentas sama untuk memujuk pengundi.
Menariknya, kedua-dua calon tersebut iaitu calon Barisan Nasional (BN) Datuk Lokman Noor Adam dan lawannya daripada PKR, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni dilihat mengamalkan demokrasi sihat dan matang dalam berkempen dengan berdebat di tepi jalan.
Ini berikutan apabila masing-masing secara profesional memperkenalkan diri dan memberi jaminan beberapa perkara yang bakal dilakukan sekiranya diberikan mandat di Sungai Kandis.
Bagaimanapun, pendekatan yang diambil kedua-dua calon ini berbeza, apabila Lokman memilih untuk tidak mengetengahkan isu tempatan kerana baginya ia topik yang lapuk.
Bahkan, katanya, sememangnya sudah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri menyelesaikan isu tempatan.
Ketika berkongsi pentas sama, Lokman secara terbuka menyerahkan sepenuhnya hak mengundi kepada rakyat, namun sekiranya mereka mahu kerajaan Pakatan Harapan mengotakan janji, BN akan memperjuangkannya.
“Kita lihat kerajaan hari ini ditubuhkan dengan fitnah dengan mengatakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mencuri RM2.6 bilion, tetapi sehingga hari ini tiada pendakwaan. Ini membuktikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menipu dan membentuk kerajaan melalui fitnah.
“Malah, selepas pemerintahan kerajaan PH, ramai rakyat meluahkan kekesalan kerana wujud penghinaan terhadap Islam, mempertikaikan hak dan bahasa Melayu serta memperlekehkan institusi raja-raja Melayu terutamanya Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.
“Saya hanya tempat pengundi meletakkan undi dan jika anda tidak berpuas hati, sokonglah BN kerana kita sama-sama beri isyarat untuk memperbetulkan apa yang tidak betul khususnya mempertahankan pusat tahfiz yang turut dimiliki oleh Ustaz Zawawi,” ujarnya.
Sementara itu, bagi Mohd. Zawawi, beliau memilih untuk menaik taraf insfrastruktur awam dan meningkatkan kemudahan terbabiy di Sungai Kandis.
“Jika pengundi memilih PKR, saya akan memastikan pembangunan modal insan yang komprehensif dalam pelbagai aspek,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










