SEREMBAN 16 Julai – Sebanyak 1,682 unit pakaian, selipar, kasut, stokin dan beg jenama tiruan bernilai RM39,816.20 dirampas dalam serbuan di 11 premis di sini dan Senawang, minggu lalu.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Zubir Hamsa berkata, pihaknya menjalankan risikan selama dua minggu sebelum 20 pegawai dan anggota penguat kuasa bersama wakil cap dagang menyerbu premis berkenaan.
Menurutnya, seorang lelaki berusia 40-an disyaki pemilik premis berkenaan dan juga dalang utama telah dikenal pasti dan tindakan susulan akan diambil terhadapnya.
“Serbuan dijalankan pada 10 Julai lalu. Hasil pemeriksaan ke atas 11 premis berkenaan secara serentak mendapati peniaga menjual pakaian, kasut, selipar, beg serta beberapa barangan lain menggunakan perihal dagangan palsu.
“Kita berjaya merampas 1,682 unit barangan menggunakan jenama tiruan Adidas, Nike dan Reebok dengan nilai dianggarkan RM39,816.20,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011. – UTUSAN ONLINE










