GUA MUSANG 1 Julai – Suami kepada kanak-kanak 11 tahun tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak yang menyebarkan fitnah dan mengecam keluarganya secara keterlaluan.
Peraih getah, Che Abdul Karim Che Hamid, 41, berkata, selepas membaca dan meneliti kisah itu di laman blog dan portal terdapat perkara yang bercanggah sehingga mengaibkan maruah keluarganya.
Katanya, walaupun terdapat desakan supaya melepaskan isteri ketiga yang baharu dinikahi dua minggu lalu, namun dia tidak akan sesekali melakukan perkara itu biarpun mendapat tentangan isteri pertama dan keduanya.
“Kerana sukakan Ayu, saya sepakat dengan keluarganya untuk kahwin gantung. Selagi tidak mencukupi umur, maka kami tidak dibenarkan tinggal bersama.
“Saya juga sudah membuat pertanyaan dengan ahli agama yang begitu arif di selatan Thailand. Kami bernikah di sana sebab dia warga Thailand. Jadi kami bernikah disaksikan imam, wali dan saksi seperti yang ada di dalam gambar itu.
“Jadi saya harap jangan bersangka buruk seperti yang dikecam dalam Facebook dan saya minta doa yang baik untuk kami,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini kediaman ibu bapanya di Kampung Lalang di sini hari ini.
Che Abdul Karim berkata, dia juga tidak pernah mengabaikan keperluan dua isteri dan enam anaknya apabila menyediakan keperluan seperti rumah, kereta dan wang yang mencukupi.
Katanya, selepas perkara mengejut itu berlaku pastinya emosi isteri terganggu kerana tidak puas hati dan kecewa.
“Saya minta diberi masa untuk memperbetulkan keadaan kami sekeluarga.
“Saya juga ada menelefon bertanya kepada isteri-isteri saya benarkah mereka hendak bercerai, namun setakat ini mereka masih mahu bersama saya,” katanya. – UTUSAN ONLINE











