KUALA LUMPUR 26 Julai – Kes saman Setiausaha Persekutuan Catur Malaysia, Sophian A. Yusuf terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin atas dakwaan memfitnah berhubung isu skirt pendek yang dipakai kanak-kanak berusia 12 tahun, berjaya diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Zuraida bersetuju menarik balik sebarang sindiran terhadap Sophian yang mungkin terdapat dalam kenyataan yang dibuatnya pada 29 April tahun lalu.
Turut selesai adalah kes saman Sophian terhadap seorang jurulatih catur yang mendedahkan isu yang sama dalam Facebooknya.
Pesuruhjaya Kehakiman Rohani Ismail merekodkan penyelesaian kedua-dua kes saman itu dengan kehadiran Sophian yang diwakili peguam Harris Abdullah.
Zuraida yang diwakili peguam Latheefa Koya dan Shahid Adli Kamarudin bagaimanapun tidak hadir kerana berada di Parlimen.
Dalam saman yang difailkan pada 20 November 2017, Sophian yang menyandang pelbagai jawatan dalam arena catur negara menyatakan, beliau telah dilantik sebagai Pengarah Pertandingan bagi Kejuaraan Catur Scholastic Kebangsaan 2017 yang diadakan di Putrajaya selama tiga hari bermula 14 April tahun sama.
Sophian selaku pihak plaintif mendakwa, pada 29 April tahun sama, Zuraida yang dinamakan sebagai pihak defendan telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah dan berniat jahat terhadapnya atas kapasiti Ketua Wanita Keadilan.
Pihak plaintif mendakwa, Zuraida yang merupakan Ahli Parlimen Ampang telah mengeluarkan kenyataan
yang membawa maksud beliau seorang lelaki miang, pedophilia, gila seks, terangsang melihat skirt pendek yang dipakai kanak-kanak berusia 12 tahun.
Kenyataan tersebut dibuat ekoran tindakan pihak plaintif tidak membenarkan kanak-kanak itu daripada menyertai pertandingan tersebut disebabkan memakai skirt pendek.
Kenyataan tersebut menurut pihak plaintif, antaranya membawa maksud semulajadi dan biasa atau secara sindiran iaitu pihak plaintif merupakan seorang yang berwatakan negatif.
Akibat daripada kenyataan tersebut, pihak plaintif mendakwa, reputasi beliau telah terjejas teruk, mengalami kesusahan, malu dan mula dijauhi oleh mereka yang terlibat dalam dunia catur.
Plaintif sehubungan itu menuntut perintah utama supaya mahkamah mengarahkan pihak defendan menarik balik kenyataan tersebut dan semua perkongsian oleh akhbar dan portal lain mahupun oleh mana-mana individu dalam masa tujuh hari dari tarikh perintah yang bakal dibuat.
Pihak plaintif juga menuntut injunksi kekal yang melarang pihak defendan daripada mengulangi atau menerbitkan sama ada melalui laman sosial Facebook milik defendan atau akhbar atau pihak ketiga dan menuntut permohonan maaf dibuat melalui dua akhbar arus perdana.
Pihak plaintif turut menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk.
Zuraida dalam pernyataan pembelaan bertarikh 18 Januari tahun lalu menyatakan, kenyataan beliau dibuat dalam suatu keadaan perlindungan bersyarat tanpa sebarang niat jahat dalam isu-isu berkepentingan awam.
Katanya, kenyataan tersebut merupakan komen berpatutan untuk menyuarakan pendapat bahawa adalah tidak wajar untuk kanak-kanak berusia 12 tahun dihalang daripada suatu pertandingan catur kerana pakaiannya.
Zuraida menyatakan, kenyataannya itu berdasarkan fakta-fakta daripada artikel MalayMail Online pada 28 April 2017: 12-year-old forced to quit chess tournament over ‘seductive dress’. – UTUSAN ONLINE










