KUALA LUMPUR 15 Julai – MELANGKAH masuk ke Taman Burung Kuala Lumpur bagaikan berada di tengah-tengah hutan hujan tropika sambil menikmati keindahan alam semulajadi dan menghirup udara segar.
Kedengaran bunyi burung-burung berkicauan turut bersama menyambut kedatangan pengunjung dan pencinta alam yangpastinya mengusik kalbu.
Terletak berhampiran Taman Botani Perdana, taman seluas 8.9 hektar itu terkenal sebagai ikon pelancongan negara dengan koleksi ribuan variasi spesies burung.
Taman Burung Kuala Lumpur juga dikenali sebagai sangkar terbang bebas terbesar di dunia dan pelawat berpeluang mendekati kira-kira 3,000 ekor burung yang terdiri daripada 200 spesies tempatan serta luar negara.
Taman itu dibahagikan kepada empat zon dan pengunjung boleh melihat burung-burung yang bebas berterbangan dan dikurung di dalam sangkar.
Antara spesies yang terdapat di taman berkenaan adalah burung kakak tua, nuri, helang, burung hantu, bangau, merak, burung unta dan sebagainya.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, walaupun berkunjung ke situ pada hari biasa, taman burung tetap dipenuhi pengunjung yang terdiri daripada warga tempatan dan pelancong luar negara.
Rata-rata pengunjung turut teruja memberi makanan buah-buahan atau sayur-sayuran kepada burung enggang dan burung unta.
Pegawai Pemasaran dan Promosi Taman Burung Kuala Lumpur, Taufik Mohd. Sharif berkata, setiap hari diadakan sesi memberi makan kepada burung, selain merasai pengalaman bergambar dengan burung yang bertenggek di atas bahu pengunjung.
“Pastinya acara yang paling menarik adalah pertunjukan burung yang diadakan setiap hari pada pukul 12.30 tengah hari dan 3.30 petang. Pengunjung pasti terpesona dengan aksi dan kehebatan burung semasa pertunjukan tersebut,” katanya.
Katanya, antara spesies burung yang menjadi tumpuan pengunjung dan pelancong adalah burung enggang iaitu antara spesies yang paling terancam di dunia.
“Di sini terdapat lima spesies burung enggang dan salah satunya adalah burung enggang terbesar di dunia yang dikenali Rhinoceros Hornbill.
“Pengunjung juga berpeluang memberi makan kepada burung tersebut,” katanya.
Di taman berkenaan, pengunjung juga boleh menjamu selera dengan hidangan tempatan dan barat enak sambil mendengar kicauan burung di Restoran Hornbill yang terletak berdekatan pintu masuk taman burung.
Selain itu, orang ramai yang ingin mengadakan majlis seperti sambutan hari lahir dan majlis korporat di situ boleh mendapatkan maklumat di laman web www.klbirdpark.com.
Tiket masuk ke Taman Burung Kuala Lumpur dijual di kaunter taman pada harga RM25 untuk dewasa dan RM12 kanak-kanak.
Taman dibuka setiap hari pada pukul 9 pagi hingga 6 petang, termasuk pada hari cuti umum.










