[VIDEO] Jemaah puji program ziarah - Utusan Malaysia

[VIDEO] Jemaah puji program ziarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADINAH 17Julai – Program ziarah yang dikendalikan Tabung Haji di Madinah mendapat pujian daripada jemaah haji Malaysia yang gembira kerana dapat menziarah makam Rasulullah dan memasuki Raudah.

Setakat hari ini seramai 2,893 jemaah sudah memasuki Madinah menerusi enam penerbangan dan mereka dibawa ziarah dalam dan ziarah luar Madinah menerusi program yang disusun oleh Unit Bimbingan dan Ziarah Madinah.

Ziarah makam Rasulullah dan memasuki Raudah merupakan ziarah dalam Masjid Nabawi iaitu antara tiga masjid paling suci bagi umat Islam.

Peluang memasuki kedua-dua tempat itu adalah yang paling ditunggu-tunggu oleh jemaah apabila berada di Madinah.

Kesempatan memasuki Raudah digunakan oleh mereka untuk bersolat sunat dan berdoa kerana itu antara kawasan mustajab untuk berdoa.

Selepas itu, jemaah dibawa pula ziarah luar Madinah iaitu ke tempat-tempat bersejarah dalam Islam.

Antaranya adalah Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Masjid Tujuh iaitu medan Perang Khandak dan lawatan ke ladang kurma.

Seorang jemaah, Mohamad Razak Yaacob berkata, menerusi program ziarah itu para jemaah dapat melihat sendiri tempat-tempat bersejarah dalam Islam dan melawat kubur para syuhada.

“Bila dapat tengok sendiri lain rasanya berbanding menonton televisyen.

“Ziarah merupakan satu kebaikan, kita boleh ceritakan sendiri kepada anak-anak apa yang kita lihat,” katanya yang menaiki penerbangan pertama haji ke Madinah.

Dia yang berasal dari Felda Jerangau, Terengganu amat gembira kerana berpeluang solat dalam saf pertama di belakang imam Masjid Nabawi.

“Alhamdulillah, Tabung Haji sangat bagus, bawa orang bagus, urusetia bagus, sekarang sedap hati, tidur sedap beribadat pun sedap,” katanya.

Bagi Maznah Hussain yang berasal dari Kelantan, dia berpuas hati dengan layanan Tabung Haji serta program ziarah yang dikendalikan.

“Semalam kami dibawa ziarah dalam iaitu makam Rasulullah, Raudah dan Perkuburan Baqi.

“Hari ini pula dibawa ziarah luar dan kami diberi kesempatan solat tahiyatul masjid dan solat duha di Masjid Quba,” katanya.

Johana Abdul Rahman dari Kuang, Selangor turut memuji perkhidmatan Tabung Haji dan berpuas hati dengan hotel penginapan, makanan yang disediakan serta proses imigresen yang cepat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN