[VIDEO] Jawatankuasa khas tangani pengangguran bakal diwujudkan – Syed Saddiq - Utusan Malaysia

[VIDEO] Jawatankuasa khas tangani pengangguran bakal diwujudkan – Syed Saddiq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Julai – Rakyat negara ini tidak perlu lagi berhijrah ke luar negara pada masa akan datang semata-mata mahu mengejar gaji lumayan meskipun terpaksa membuat kerja-kerja dalam sektor pekerjaan yang berbahaya, kotor dan sukar (3D).


Video oleh NUR AZREEN ARIFIN

Ini kerana Kementerian Belia dan Sukan bercadang mewujudkan jawatankuasa khas bagi tangani pengangguran dalam kalangan belia di negara ini.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, jawatankuasa khas tersebut melibatkan kerjasama beberapa kementerian lain bagi menilai dan perhalusi kaedah terbaik dalam mengatasi isu pengangguran dengan menawarkan lebih banyak pekerjaan berkualiti terutama lepasan vokasional.

“Laporan yang dikeluarkan Bank Negara awal tahun ini me­nunjukkan kadar pengangguran belia di negara ini berada dalam keadaan membimbangkan iaitu tiga kali ganda tinggi berbanding kadar nasional. Jadi persoalannya, apa yang kita boleh lakukan untuk tangani masalah ini dalam memastikan anak muda dapat peluang pekerjaan berkualiti?

“Sebab itu kita bercadang untuk tubuhkan jawatankuasa khas dengan kerjasama kementerian lain untuk mengelak belia kita berhijrah ke luar negara dan sanggup melakukan kerja-kerja 3D walaupun dibayar dengan upah di bawah kadar minimum,” katanya ketika merasmikan Pameran Kerjaya dan Pascaijazah Graduan Aspire 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Graduan Aspire, Elia Talib.

Pameran selama dua hari mulai hari ini merupakan antara platform peluang pekerjaan dinamik selain menghimpunkan lebih 150 syarikat terkemuka yang menawarkan peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang.

Pihak penganjur menjangkakan dapat menarik lebih 60,000 pe­ngunjung dengan memainkan peranan besar dalam memberi manfaat kepada tenaga kerja tempatan dan berfungsi sebagai ‘orang tengah’ kepada syarikat dan pelajar universiti.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, menjadi tanggungjawab kepada kerajaan untuk tangani permasalahan pengangguran bagi memastikan anak-anak muda berpeluang memperoleh pekerjaan yang berkualiti.

“Kebanyakan belia sanggup berhijrah ke luar negara termasuk di Australia untuk menjadi pengutip buah dan bekerja secara haram di Korea Selatan untuk meraih gaji lumayan walaupun hakikatnya pendapatan tersebut teramat rendah jika dibandingkan dengan tawaran gaji di Malaysia, namun mereka tetap ke sana,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN