[VIDEO] Ilias dianggap ayah rakyat Bachok - Utusan Malaysia

[VIDEO] Ilias dianggap ayah rakyat Bachok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK 18 Julai – Jenazah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelawat, Allahyarham Datuk Dr. Ilias Hussin, 66, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Teratak Pulai, pada pukul 10.35 malam tadi.

Ribuan rakyat Bachok membanjiri perkarangan kediamannya sejak pukul 9 malam untuk memberi penghormatan terakhir dan menyempurnakan solat jenazah turut menyebabkan jalan utama Teratak Pulai sesak seketika.

Adik arwah, Danial Hussin, 58, berkata, Ilias adalah seorang abang yang penyayang terhadap keluarga termasuk dianggap sebagai bapa oleh semua adik beradik.

“Malah dia dianggap sebagai bapa oleh rakyat kawasan ini yang sentiasa dibantu. Persekitaran kediamannya adalah medan rakyat berkumpul setiap tahun sama ada untuk menyambut hari raya atau hari ulangtahun kemerdekaan negara.

“Arwah adalah pemimpin yang murah hati dan dermawan membantu rakyat kesusahan tanpa mempersoalkan perbezaan fahaman politik,” katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Teratak Pulai, dekat sini, malam tadi.

Danial berkata, arwah berpesan supaya  menjaga anak-anaknya sejak beberapa hari menjadi petanda awal pemergiannya kembali ke Rahmatullah.

Menurutnya, serangan kanser prostat tahap kritikal dikesan pada awal Ramadan lalu dan terpaksa menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sebelum menghembus nafas terakhir di Wad 2 Intan hospital berkenaan pada pukul 5.25 petang semalam.

Allahyarham Dr. Ilias meninggalkan seorang balu, Datin Ayuni Jumaningseh bersama empat anak berusia enam hingga 19 tahun. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN