KUALA LUMPUR 28 Julai – Himpunan Kebangkitan Ummah yang dihadiri lebih 10,000 hadirin di padang Kelab Sultan Sulaiman hari ini berakhir dengan jaya serta mencapai objektif penganjurannya.
Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Aminuddin Yahaya berkata, himpunan itu adalah satu kejayaan semangat lebih 300 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam serta masyarakat umum yang menyuarakan kegusaran dalam kalangan umat Islam terhadap kerajaan.
“Himpunan ini adalah satu tanda kegusaran kami dalam kalangan umat Islam dan sebagai isyarat rasa tidak puas hati rakyat terhadap pentadbiran kerajaan hari ini.
“Hari ini juga kita berjaya menghimpunkan orang ramai untuk sama-sama menyuarakan bahawa semua tindakan dan keputusan kerajaan mestilah bertunjangkan kepada asas Perlembagaan Negara tanpa menjejaskan mana-mana fasa dalam perlembagaan,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.
Turut hadir, Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wadji Dusuki, Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam serta Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan Tantawi.
Himpunan Kebangkitan Ummah itu dianjurkan bagi menyuarakan ketidakpuasan hati orang Melayu khususnya umat Islam terhadap beberapa tindakan kerajaan Pakatan Harapan sejak mereka memegang tampuk pemerintahan negara.
Antara agenda penting yang menjadi hujah barisan pimpinan NGO dalam himpunan itu adalah berkaitan isu pengiktirafan UEC yang mesti ditolak, hak istimewa orang Melayu dan menuntut tindakan keras kepada mana-mana individu yang cuba menghina dan memperlekeh institusi beraja.
Dalam perhimpunan itu juga, seramai 20 pimpinan utama mewakili NGO masing-masing tampil menyampaikan ucapan sebagai tanda solidariti mereka terhadap perjuangan ini.
Di samping itu, 10 resolusi Himpunan Kebangkitan Ummah turut dilaungkan di pentas utama Padang Kelab Sultan Sulaiman sebagai simbolik kepada kejayaan penganjuran himpunan tersebut.
Himpunan itu berakhir kira-kira pukul 2.30 petang diiringi bacaan doa. – UTUSAN ONLINE










